Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Belia Sepang Digesa Kuasai TVET

By 10 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Manjasari Shamsudin (Sepang)

SEPANG, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Belia Sepang digesa untuk menguasai bidang kemahiran teknikal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan inovasi.

Pegawai Daerah Sepang Khairi Azali Ibrahim berkata segala peluang yang ada perlu dimanfaatkan sewajarnya golongan berkenaan terutama di institusi seperti kolej vokasional.

“Gunakan peluang yang ada di sekitar kita, khususnya di kolej vokasional ini (Kolej Vokasional Sepang) untuk meneroka kawasan perindustrian serta ekosistem digital dalam menjana ekonomi baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Program Semarak Belia @ Hari Belia Negara (SB@HBN) Peringkat Daerah Sepang 2026, di sini semalam.

Bertemakan Menggerak Belia MADANI, program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Sepang dengan kerjasama strategik Majlis Belia Selangor Daerah Sepang itu menjadi platform memperkasa potensi generasi muda bermula dari peringkat akar umbi.

Beliau berkata kedudukan Sepang sebagai pintu masuk utama negara serta hab teknologi dan pendidikan merupakan satu kelebihan yang perlu digunakan sebaik mungkin.

Beliau turut menggariskan tiga teras utama pembangunan belia yang merupakan tonggak utama dalam menentukan hala tuju masa depan negara iaitu penguasaan bakat, pemerkasaan inovasi dan penyuburan semangat kesukarelawanan sebagai pemacu generasi masa depan yang lebih progresif dan berdaya tahan.

-AA-

Tinggalkan komen anda