
Laporan/foto: Fatihayatul Sadi/Izamuddin Jusoh
KUALA TERENGGANU, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Program Karnival Kembara MADANI dan Lestari Bahasa 2026 Zon Timur berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Mei di Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir bersempena sambutan ulang tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tahun ini dengan pelbagai pengisian bahasa, sastera dan budaya.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Ariza Che Ismail, berkata pemilihan sekolah sebagai lokasi program selaras dengan peranan DBP sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diamanahkan untuk memartabatkan bahasa, sastera dan budaya dalam kalangan generasi muda.
“Sambutan ulang tahun DBP pada tahun ini mengambil tema Restu Jiwa Pahlawan yang membawa maksud pahlawan dari sudut bahasa, sastera dan budaya khususnya,” katanya.
Tambah beliau, Seberang Takir dipilih sebagai lokasi program dan merupakan tempat kelahiran dua tokoh terkemuka negara iaitu J. M. Aziz dan T. Alias Taib yang banyak menyumbang kepada perkembangan bahasa dan sastera tanah air.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa penganjuran kali ini merupakan gabungan dua program utama iaitu Karnival Kembara MADANI dan Karnival Lestari Bahasa yang disatukan di bawah satu platform bagi memperluas penglibatan masyarakat khususnya golongan muda.
“Karnival Kembara MADANI merupakan program yang disusun sempena sambutan ulang tahun DBP tahun ini, manakala Karnival Lestari Bahasa pula ialah program tahunan DBP Wilayah Timur yang telah dimulakan sejak tahun lalu bagi menarik minat golongan muda dan akan diteruskan pada masa hadapan,” katanya.
-AA-





