Skip to main content
Rencana & Pendapat

Keunikan Pasar Bisik Kuala Muda Jadi Tarikan Pengunjung

By 22 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abd Aziz Osman

KUALA MUDA, 22 Mei (MalaysiaAktif) –Terletak di Kuala Muda, Penaga dekat sempadan Kedah dan Pulau Pinang, Pasar Bisik terus menjadi tarikan pengunjung tempatan serta pelancong yang ingin menyaksikan sendiri keunikan urus niaga tradisional secara berbisik, budaya jual beli yang semakin jarang ditemui pada masa kini.

Menurut penduduk tempatan, tradisi urus niaga tersebut telah diamalkan sejak puluhan tahun lalu yang bermula kira-kira tahun 1960-an lagi dan ianya menjadi identiti masyarakat nelayan Kuala Muda.

Seorang nelayan, Ariffin Derani, 60, berkata kaedah berbisik itu bukan sahaja unik, malah membantu memastikan proses jual beli berlaku secara lebih teratur.

Hasil tangkapan segar terus dijual sebaik bot tiba.

“Kami sudah biasa dengan cara ini sejak dulu lagi. Pembeli akan datang tengok ikan dan bisik harga. Kalau sesuai, kami jual,” katanya ketika ditemui di pasar itu, semalam.

Kebanyakan pengunjung hadir seawal pagi bagi mendapatkan hasil laut seperti ikan udang, ketam, sotong dan kerang yang lebih segar pada harga berpatutan

Bagi seorang pengunjung dari Sungai Petani, Zaimah Yahaya, 34, pengalaman melihat proses bisik menjadi antara sebab utama beliau sering datang ke pasar berkenaan.

“Anak-anak pun teruja sebab tak pernah tengok cara jual beli macam ini. Suasananya memang lain daripada pasar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Pasar Bisik Kuala Muda kini turut dilihat berpotensi sebagai produk pelancongan budaya yang mampu menarik lebih ramai pelawat ke kawasan tersebut.

Penduduk berharap identiti asal pasar itu dapat dikekalkan tanpa dipengaruhi perubahan moden yang boleh menghilangkan keunikan tradisi berkenaan.

Walaupun arus pembangunan semakin pesat, suara bisikan kecil di pasar nelayan itu masih terus menjadi simbol warisan komuniti pesisir pantai Kuala Muda hingga ke hari ini.

-RI

Tinggalkan komen anda