
Laporan/foto: Norhafiezah Abdul Aziz/Stephen Jipolin Jouti (Penampang)
PENAMPANG, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Orang ramai dijemput memeriahkan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang di Buhavan Square pada 16 Mei ini.
Presiden Majlis Perbandaran Penampang Noemi Dyena John Tren berkata pihaknya menyasarkan kehadiran kira-kira 500 pengunjung sepanjang program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 6 petang.
“Persiapan logistik diselaras secara menyeluruh bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung,” katanya ketika ditemui di Majlis Perbandaran Penampang, semalam.
Menurut Noemi Dyena, pihaknya turut menyediakan kawasan letak kereta untuk kemudahan tetamu kehormat serta orang awam.
Aspek keselamatan serta kawalan lalu lintas diselaraskan melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kesihatan.
Antara tarikan utama program tersebut ialah pertandingan Unduk Ngadau peringkat daerah bagi memilih wakil ke peringkat negeri pada penghujung Mei ini.
“Pertandingan Sugandoi pula diadakan pada 7 Mei di MSGR. Wachter Hall, St. Michael’s Parish Penampang, diikuti Pertandingan Randawi Tavantang Kaamatan pada 9 Mei di Ming Garden Hotel,” jelasnya.
Majlis perasmian sambutan tersebut akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.
-RJ-





