
Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini/ Sitti Jakiyah Abd Rahim (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 37 individu telah mengesahkan tempat sebagai peserta Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Negeri Sabah yang akan berlangsung di Dewan Sa’adah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bermula 13 hingga 16 Februari ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Informasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Adam Abdul Hai berkata, pelbagai program dilaksanakan sepanjang Minggu Semarak Al-Quran bersempena MTHQ di Wisma MUIS.

Ustaz Adam ketika ditemu bual dalam Program Influencer@JAPEN Sabah Episod 1 bagi tahun 2025.
“Terdapat dua kategori Tilawah al-Quran yang akan dipertandingkan iaitu kategori dewasa yang melibatkan seramai tujuh qari dan empat qariah, manakala bagi kategori remaja pula akan menyaksikan penyertaan lima qari dan empat qariah, sementara majlis hafazan pula melibatkan 17 penyertaan.
“Antara pengisian sepanjang program tersebut seperti derma darah daripada Hospital Queen Elizabeth, pertandingan hafazan kanak-kanak sekolah agama negeri, bengkel Tahsin Qiraah dari masjid ke masjid, pameran agensi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) serta julan produk daripada pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) Sabah,” katanya ketika ditemui dalam program Influencer@JAPEN Sabah di sini pada rabu.
Tambah Adam, MTHQ kategori remaja yang baru sahaja diperkenalkan sejak tahun 2024 berjaya melahirkan ramai pelapis berbakat dalam bidang tilawah dan hafazan yang boleh digilap seterusnya mewakili negeri Sabah ke peringkat yang lebih tinggi.

Adam berharap lebih ramai qari dan qariah dari Sabah dapat dilahirkan melalui MTHQ.
“Kita mengharapkan tahun mendatang Sabah boleh menjadi tuan rumah sama ada MTHQ antarabangsa mungkin MTHQ peringkat seborneo sebab tahun lalu diadakan di Kota Pontianak dan saya terlibat menghantar peserta kita dari Sabah.
“Pendedahan ini bukan sahaja akan memberi motivasi, ia juga menyemarakkan lagi semangat cintakan al-Quran dalam kalangan masyarakat, serta membuka ruang untuk lebih ramai qari dan qariah dari Sabah untuk mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya.
Untuk rekod, negeri Perlis akan menjadi tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) peringkat Kebangsaan bagi Tahun 1446H/2025M yang akan melibatkan 112 peserta di seluruh negara pada bulan April nanti.
-RJ-