Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

Tindakan Selenggara dan Pembaikan Pantas Mudahkan Penduduk Ekoran Tanah Runtuh

By 12 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Jaimis Kunjan / Mark Garadu (Tambunan)

TAMBUNAN, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Kawasan kejadian bencana tanah runtuh di lima kawasan Mukim Monsorulung, Tambunan sedang melalui proses penyelenggaraan dan kini boleh digunakan penduduk untuk menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tiga, Jaibat Maudih, 51, berkata, sebelum ini dua jalan utama yang menghubungkan kawasan pertanian Jalan Tondorung Koro dan Jalan Tondokop Toip, yang menghubungkan Kampung Bundu dan Kampung Tuad terutamanya mengalami kerosakan kritikal.

Dua jalan utama yang mengalami kerosakan kritikal ekoran tanah runtuh.

Jelasnya, tindakan pantas Pejabat Wakil Rakyat Tambunan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Seri Jeffrey Kitingan segera menjalankan segera kerja-kerja pembersihan dan pembaikan yang bermula sejak 7 Februari lalu.

“Kini 11 kawasan runtuhan sedang dalam proses penyelenggaraan, dan tindakan pantas yang dibuat oleh pihak pejabat wakil rakyat Tambunan berjaya mengurangkan kesan bencana tanah runtuh ini dan memudahkan perjalanan penduduk yang terjejas.

“Kejadian ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk kerana tanah runtuh tersebut bukan hanya merosakkan jalan, tetapi turut menjejaskan beberapa kawasan pertanian yang menjadi sumber pendapatan mereka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Timpudok di sini semalam.

Jaibat berada di lokasi kejadian tanah runtuh.

Tambah Jaibat, kerjasama pelbagai agensi untuk menangani bencana seperti ini amatlah diperlukan agar langkah keselamatan dapat digerakkan dengan segera bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada wakil rakyat dan semua kakitangan Pejabat Wakil Rakyat yang telah berusaha keras untuk menyelesaikan masalah ini yang mana kesiapsiagaan agensi-agensi kerajaan untuk turun membantu mangsa-mangsa bencana seperti ini juga amatlah diperlukan.

Kerja-kerja pembersihan dan pembaikan  segera sedang dilakukan.

“Tindakan pantas dan sokongan daripada agensi-agensi yang terlibat dapat meringankan beban penduduk yang terlibat dalam musibah ini, serta memastikan mereka mendapat bantuan yang sewajarnya dalam masa yang kritikal,”ujarnya.

Untuk makluman hujan lebat berterusan mengakibatkan berlakunya satu kejadian tanah runtuh sejak 9 Februari lalu di lima kawasan di Mukim Monsorulung, Tambunan sekaligus menyebabkan tiga buah kampung di kawasan terjejas terputus hubungan jalan raya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda