
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Penampang)
PENAMPANG, 17 Nov (MalaysiaAktif) – Sebelum matahari terbit, Evelyn Sueile dan suaminya sudah memulakan perjalanan untuk mencari rezeki dengan memandu sejauh kira-kira satu jam dari rumah mereka di Kimanis ke Pasar Tamu Donggongon.
Tiba seawal Subuh, mereka menguruskan gerai ikan air tawar hidup pelbagai spesies yang telah mereka usahakan sejak sekian lama.

Evelyn menunjukkan ikan biawan sejenis ikan yang diperolehinya di Benoni, Papar.
Menurut Evelyn, 56, harga ikan yang dijual bergantung kepada saiz dan jenis, namun tetap ditawarkan pada kadar berpatutan mengikut kemampuan pelanggan.
“Antaranya ialah ikan belut, ikan sepat siam, ikan jalak (haruan), anak jalak, ikan karuk (puyu), karuk siam dan ikan karuk emas. Ikan-ikan berkenaan dijual pada harga sekitar RM5 hingga RM10 satu plastik, yang telah siap diikat bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan.
“Pelanggan membelinya sama ada untuk dipelihara atau dimasak. Karuk emas sekarang saya belum ada bekalan, jadi kadang saya ambil dari kawan yang menternaknya,” katanya ketika ditemui di Pasar Tamu Donggongon, di sini pada Ahad.
Tambahnya lagi, perniagaan tersebut juga secara tidak langsung memberi peluang ekonomi kepada orang kampung terutama penternak kecil di kawasan luar bandar.
“Kami dapatkan bekalan dengan pelbagai cara seperti memancing, menjala, merambat atau menyauk. Ada kalanya kami membeli daripada penternak kecil. Sekarang banyak kawasan sudah membangun, jadi kami biasa mencari ikan di sekitar ladang sawit di Bongawan. Di tamu ini pula, selain berniaga, kami dapat berkongsi ilmu dan meluaskan rangkaian pelanggan,” katanya.
Tamu Donggongon yang terletak di Penampang beroperasi pada hari Khamis hingga Ahad dengan pelbagai produk tempatan antaranya makanan tradisi, hasil tani, kraftangan dan produk segar seperti hasil laut.
-RJ-








