
Laporan/foto: Tg. Saipulah Tg. Mohd (Seberang Takir)
SEBERANG TAKIR, 6 Apr (Malaysiaaktif) – Keindahan panorama bandaraya pesisir air menjadikan Terengganu destinasi pelancongan popular bagi warga tempatan dan pelancong asing.
Kini orang ramai boleh melihat keunikannya secara lebih dekat dengan menggunakan kemudahan Payang Water Taxi dan sehingga kini berjaya menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar negara terutama pada musim cuti.
Dengan harga tambang serendah RM10 bagi dewasa dan RM8 bagi kanak-kanak, pelancong berpeluang melusuri sungai Terengganu di samping menikmati keindahan dan keaslian alam semulajadi di kawasan pelancongan popular seperti Masjid Kristal, Duyong Marina and Resort, Pesisir Payang, Pulau Pasir dan Jambatan Angkat.
Mohd Fauzi Razali, 28, yang berasal dari Kemaman berkata kehadirannya ke sini adalah untuk melihat sendiri Jambatan Angkat yang semakin popular di kalangan netizen.
“Walaupun masih dalam pembinaan, namun beliau tertarik apabila ramai netizen telah berkongsi gambar mereka di media sosial,” ujarnya.
Manakala menurut seorang lagi pelancong, Fatimah Kamila Jusoh, 35, yang datang dari Kuala Lumpur berkata Terengganu sentiasa menjadi destinasi percutiannya kerana beliau sukakan aktiviti-aktiviti yang lebih dekat dengan pulau dan pantai.
Kemudahan Menaiki Payang Water Teksi merupakan pengalaman baru menikmati pemandangan indah bandaraya pesisir air dengan harga sangat berpatutan disediakan oleh syarikat Cas Ligas Sdn. Bhd. yang diperkenalkan sejak Julai tahun lalu.