
Laporan/ foto oleh: Nurul Wahida Mohd Noor (Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PAUH, 14 Sep (Malaysiaaktif) – Program Konvoi Santai Anak Muda Harapan adalah cetusan idea anak-anak muda tempatan sempena program Merdeka@Komuniti Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Seberang Jaya Maju Bersama dengan kerjasama MPKK Tok Kandu.
Program ini melibatkan seramai 36 orang peserta yang terdiri daripada 23 motosikal dan juga 2 kereta menuju ke negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan juga Terengganu selama 3 hari 2 malam.
Objektif program ini ialah untuk menyemarakkan rasa cinta pada tanah air dan ini merupakan sebagai simbolik kepada kempen Bulan Kebangsaan yang akan melabuhkan tirai dan Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September nanti.
Selain Jalur Gemilang, bahan-bahan penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia turut diserahkan kepada peserta-peserta konvoi untuk diedarkan kepada masyarakat setempat di kawasan Pantai Timur.
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Exco Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Seberang Jaya, Afif Bahardin. Dalam ucapannya, beliau memuji usaha murni dan peranan yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan Malaysia dalam memeriahkan Bulan Kebangsaan malah turut bertanggungjawab dalam memberi penerangan ke lapisan akar umbi supaya masyarakat memahami, menghargai dan menyokong usaha-usaha serta dasar-dasar Kerajaan.

Majlis Penyerahan Jalur Gemilang oleh wakil Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah kepada Afif Bahardin
Turut hadir, Encik Mohd Zahari Zakaria, Pegawai Kanan, Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah.
-II-