Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Kerja Keras Petugas Marang Dihargai

By 15 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: RA Othman (Marang)

MARANG, 15 Mei (Malaysiaaktif) – Kerja keras dan kesibukan petugas daerah Marang hari ini terbalas apabila jasa dan kesungguhan mereka telah mendapat perhatian Ahli Dewan Negara Parlimen Malaysia, Razali Idris.

Dalam satu majlis penyerahan ringkas Sumbangan Ihya’ Ramadan 2020 yang diadakan di pekarangan Pejabat Daerah Marang, Datuk Razali Idris berbesar hati menyampaikan sendiri 157 pek sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada barisan petugas daerah Marang yang terdiri dari Pemimpin Masyarakat, termasuk Penghulu Mukim dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah Marang.

Majlis ringkas penyerahan sumbangan ihya' ramadan 2020 kepada petugas daerah Marang.

Majlis ringkas penyerahan sumbangan ihya’ ramadan 2020 kepada petugas daerah Marang.

“Sumbangan ini cumalah pemberian kecil sebagai tanda penghargaan kepada petugas kita yang sangat komited melaksanakan kerja-kerja amal dan tanggungjawab mengagihkan bantuan Kerajaan tidak kira daripada Persekutuan mahupun daripada negeri kepada penduduk kawasan masing-masing”, kata Razali Idris yang juga merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Tambah beliau lagi, second liners adalah panggilan yang sesuai untuk para pemimpin masyarakat yang bertugas setiap masa kepada penduduk setempat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berlangsung selain para petugas kesihatan, polis, askar, anggota RELA dan semua petugas barisan hadapan yang lain.

Penghulu Mukim Bukit Payong, Ahmad Zafiri bersama seorang lagi petugas membawa pek sumbangan ke Pejabat DUN untuk agihan.

Penghulu Mukim Bukit Payong, Ahmad Zafiri (kanan) bersama seorang lagi petugas membawa pek sumbangan ke Pejabat DUN untuk agihan.

Sebanyak 157 pek sumbangan barangan asas yang terdiri daripada beras, gandum, minyak masak dan gula telah diagihkan kepada empat DUN iaitu DUN Alur Limbat (40 pek), Bukit Payong (23 pek), Rhu Rendang (36 pek), Pengkalan Berangan (49 pek) dan selebihnya sembilan pek kepada semua Penghulu Mukim daerah Marang.

Penghulu Mukim Bukit Payong iaitu Ahmad Zafiri Ahmad Zaki, 37, berkata bantuan ini merupakan inisiatif yang bagus buat petugas masyarakat seperti mereka yang sebelum ini tidak pernah dilaksanakan di mana-mana daerah.

Razali Idris bersama pek sumbangan ihya' ramadan untuk diagihkan.

Razali Idris bersama pek sumbangan ihya’ ramadan untuk diagihkan.

“Saya mewakili semua barisan petugas daerah Marang berterima kasih kepada beliau kerana bermurah hati memberi pek sumbangan ini yang akan menjadi pendorong untuk kami manjalankan tugas dengan lebih komited,” katanya.

Turut mengiringi Razali Idris dalam majlis ringkas ini ialah Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan juga barisan Pengurusan Pejabat Daerah Marang.

-ii-

Tinggalkan komen anda