
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 7 Sep (Malaysiaaktif) – Pendidikan Rukun Negara perlu diperkasa di sekolah-sekolah serta di institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi memantapkan lagi penghayatan rukun negara dalam kalangan anak-anak muda.
Kerajaan telah mengumumkan pendidikan Rukun Negara akan dilaksanakan bukan sebagai subjek baharu tetapi menerusi pengisian secara menyeluruh dalam kurikulum sekolah dan aktiviti kemasyarakatan bagi meningkatkan penghayatan falsafah negara ini.
Menurut guru penyelaras Kelab Rukun Negara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal, Azleen Yaaeop, 39, langkah menerapkan pendidikan Rukun Negara dalam kurikulum adalah sangat baik kerana dapat memupuk semangat patriotik di kalangan pelajar pada setiap masa bukan sahaja tertumpu pada bulan kemerdekaan.
“Masyarakat Malaysia adalah masyarakat yang bertatasusila dan kaya dengan budi bahasa. Saya berpendapat pendidikan Rukun Negara harus diamalkan, bukan hiasan semata-mata dalam usaha mengekalkan perpaduan dan menjadikan murid lebih cintakan negara,” ujar Azleen.
Bagi pelajar SMK Kijal, Nurbatrisyia Awang, 14, berkata dia bangga terpilih sebagai ahli kelab Rukun Negara kerana lebih faham konsep rukun negara sekiranya diterapkan dalam kurikulum sekolah.
“Sebagai pelajar, saya bukan hanya tahu menyanyi lagu patriotik atau hormat kepada bendera Malaysia, malah saya akan lebih memahami peranan saya sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Mohd Asri Mohd Azhar, 32, seorang pensyarah pula berkata, kemerdekaan menuntut kedaulatan undang-undang.
“Rukun Negara patut difahami dan dibudayakan oleh para pelajar, guru dan orang ramai. Contohnya kedaulatan undang-undang, kita perlu semai dan menghormati undang-undang, nilai-nilai murni bukan sekadar bercakap di mulut sahaja. Kita harus hargai kemerdekaan dan sayangi negara tanah tumpahnya darah kita ini,” jelas beliau.
Penghayatan prinsip dan nilai prinsip rukun negara akan dapat disemarakkan dalam mengeratkan semangat perpaduan sebagaimana yang ditunjukkan oleh rakyat sehingga kerajaan dapat mengurus wabak COVID-19 dengan berkesan.
Secara tidak langsung, Rukun Negara dapat dihayati sepenuhnya dan terus dijadikan amalan norma baharu dalam kehidupan ini.
Untuk rekod, Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bagi menjadi falsafah keharmonian dan perpaduan agar setiap rakyat dapat menerima dan menghayati kepelbagaian kaum, agama dan budaya di negara ini.
-ii-