
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Selain peniaga, pemandu teksi merupakan antara golongan yang terkesan ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac tahun lalu sehingga sekarang.
Golongan ini berharap kepada kehadiran penumpang dalam sesuatu kawasan sama ada di kawasan tumpuan orang ramai ataupun di kawasan luar bandar.
Menurut seorang pemandu teksi, Zakaria Sulong, 69, dari Chukai berkata dia terpaksa duduk menunggu kadang-kadang sehingga setengah hari untuk mendapatkan pelanggan demi menampung keperluan keluarga.
“Bagaimanapun, saya bersyukur dengan bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) secara sekali bayar sebanyak RM500 kepada pemandu teksi.
“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian keluarganya,” katanya.
Berkongsi rasa yang sama, Mohd Saleh Arifin, 64, dari Kuala Kemaman pula berkata jika ada pelanggan menelefon atau datang ke kaunter teksi maka adalah pendapatan buat dirinya dan keluarga.
“Situasi ini getir bagi diri saya apatah lagi duit simpanan semakin susut walaupun sudah berjimat cermat dan dalam masa yang sama, pemandu teksi terpaksa membayar sewaan kepada syarikat teksi.
Bagi pengguna kemudahan awam, Marlisa Mohd, 38, dari Semayor berkata dia lebih selesa menempah teksi kerana sudah mengenali pemandu teksi, berpengalaman dan mempunyai kad pemandu teksi yang bertauliah.
“Pada pendapat saya, perkhidmatan teksi mula terjejas dengan kewujudan perkhidmatan e-hailing, tambahan pula kini musim PKP memang sangat jarang orang tempah teksi sekiranya tiada keperluan mendesak untuk pergi ke mana-mana,” katanya.
Seramai 20 ahli Persatuan Teksi di Daerah Kemaman ini amat terkesan dengan pelaksanaan PKP kerana orang ramai tidak berani untuk keluar rumah tanpa ada urusan penting.
-ii-