Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Teknologi Dron Bantu Pesawah

By 8 Mac 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abidin A. Ghani (Hulu Terengganu)

HULU TERENGGANU, 8 Mac, (Malaysiaaktif) – Penggunaan teknologi terkini di dalam bidang pertanian dan perladangan semakin mendapat tempat dalam kalangan petani dan peladang di negara ini, antara teknologi yang semakin meluas penggunaannya ialah teknologi pesawat kawalan jauh atau dron yang digunapakai untuk membaja dan meracun kawasan sawah padi yang luas.

Penggunaan dron ini telah banyak membantu petani terutama golongan muda mempercepatkan menjalankan kerja-kerja meracun dan membaja sawah padi tanpa perlu meranduk sendiri ke dalam kawasan bendang dan mengurangkan risiko merosakkan tanaman padi itu sendiri.

Bagi Mohd Faris Farhan Mohd Sidek, 32, penggunaan dron banyak membantu beliau mempercepatkan proses membaja dan meracun bendang padi seluas 50 ekar yang diusahakan oleh beliau sendiri di Kampung Matang dan Kampung Kepah.

Beliau yang juga seorang guru di Sekolah Rendah Kebangsaan Kuala Berang membeli dron berkenaan dengan harga RM26 ribu dan ianya amat membantu mempercepatkan kerja-kerja di sawah.

“Selain untuk kegunaan sendiri, saya juga menyewakan dron ini untuk membantu pesawah lain dalam kerja-kerja membaja dan meracun dengan harga RM30 seekar.”

Guru yang juga seorang petani yang mengendalikan dron, Mohd Faris Farhan Mohd Sidek, 32.

Guru yang juga seorang petani yang mengendalikan dron, Mohd Faris Farhan Mohd Sidek, 32.

Mohd Faris berkata demikian selepas melakukan demonstrasi penggunaan dron kepada Timbalan Menteri Pertanian 1, Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah semasa Lawatan ke Projek Tanaman Padi yang diusahakan peladang di Kampung Matang dan Kepah, anjuran Jabatan Pertanian Negeri Terengganu dan Lembaga Pertubuhan Peladang Terengganu di Rumah Pam JPS, Kampung Matang, baru-baru ini.

Beliau telah berpeluang melihat dan mencuba sendiri dron yang digunakan untuk membantu kerja-kerja di sawah.

Dalam majlis berkenaan, Datuk Seri Ahmad Hamzah telah memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan projek menaik taraf Sistem Pengairan Paya Kemat dan Sistem Pengairan Paya Matang Daerah Hulu Terengganu dengan peruntukan berjumlah RM7.5 juta yang telah bermula sejak awal Disember lalu.

Timbalan Menteri Pertanian 1, Datuk Seri Haji Hamzah Ahmad (dua dari kanan) mencuba dron.

Timbalan Menteri Pertanian 1, Datuk Seri Haji Hamzah Ahmad (dua dari kanan) mencuba dron.

“Penglibatan orang muda di dalam bidang pertanian di sini amat membanggakan dan ianya boleh dijadikan sebagai model perkembangan pertanian sawah luar kawasan jelapang,” katanya semasa berucap dalam najlis bersama Ahli Pertubuhan Peladang Kampung Matang.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna Datuk Rosol Wahid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong Datuk Rozi Mamat.

Dalam majlis berkenaan, Datuk Rosol Wahid turut memaklumkan bahawa beliau akan memberi sebuah lagi dron untuk kegunaan petani di kawasan Hulu Terengganu.

-ii-

Tinggalkan komen anda