
Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)/Norfazila Ahmad (Politeknik Nilai)
SEREMBAN, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Politeknik Nilai telah mengambil inisiatif meneruskan Program Bakul Kasih bagi membantu pihak yang kurang berkemampuan dan terjejas sewaktu pandemik COVID-19.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam politeknik tersebut merangkap Pengarah Program Bakul Kasih, Norfazila Ahmad, sumbangan tersebut merupakan salah satu usaha yang dibuat oleh Politeknik Nilai bagi membantu pelajar dan kakitangan sokongan yang terkesan dengan pandemik ini.
“Idea program ini tercetus setelah mendapat maklumat daripada penasihat akademik jabatan, jabatan hal ehwal pelajar, pejabat pengurusan politeknik dan hasil perbincangan bersama Pengarah Politeknik Nilai Wan Zulkifly Wan Zakaria, maka program ini berhasil direalisasikan dengan jayanya.
“Diharapkan dengan usaha serta bantuan seperti ini dapat memberi sedikit kelegaan bukan sahaja kepada pelajar malahan kakitangan politeknik ini.” katanya ketika ditemui di institut tersebut, di sini baru-baru ini.
Sejak dilancarkan pada tahun lepas, program ini telah berjaya membantu seramai 30 orang pelajar dan 15 orang kakitangan sokongan yang terjejas.
Sementara itu, pelajar Muhammad Adam Lutfi Mohammad Mazli, berkata beliau merasa amat bersyukur kerana ada yang sudi membantu keluarganya dalam keadaan yang sukar ketika ini.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak pengurusan Politeknik Nilai kerana memberi bantuan yang amat diperlukan dan tinggi harapan saya untuk menamatkan pengajian saya disini serta membawa nama baik Politeknik Nilai di mana sahaja saya berada,” katanya.
-FF