Skip to main content
HomeViral

Pandikar Amin Nafi Letak Jawatan, Akan Terus Bertugas

By 17 Mei 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Malaysiaaktif) — Tan Sri Pandikar Amin Mulia lewat semalam menafikan beliau telah meletak jawatan sebagai Yang Di Pertua Dewan Rakyat.

Sebaliknya beliau akan bertugas seperti biasa sebagai Yang Di Pertua Dewan Rakyat pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-13 yang akan bermula esok.

Dalam satu kenyataan Tan Sri Pandikar menegaskan beliau, antara lain, akan mempengerusikan upacara mengangkat sumpah dua Ahli Dewan Rakyat baharu, iaitu dari kawasan parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin dan kawasan Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sekali gus, Tan Sri Pandikar menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa beliau telah menemui bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir dalam satu forum pada Sabtu malam.

Portal tersebut melaporkan kononnya beliau telah memaklumkan peletakan jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat kepada Tun Mahathir.

Dalam pada itu Tan Sri Pandikar mendedahkan beliau turut akan mempengerusikan sesi  pembentangan usul Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Usul RM11 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Khamis ini.

Untuk rekod Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengangkat sumpah sebagai Yang Di Pertua Dewan Rakyat pada April 2008, menggantikan Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Tinggalkan komen anda