
KUALA LUMPUR, 17 Mei (Malaysiaaktif) — Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bakal menjadi tumpuan utama mesyuarat kedua penggal ketiga Parlimen ke-13 yang bermula Isnin.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan rancangan pembangunan lima tahun negara itu, yang akan bermula 2016 dan berakhir pada 2020, Khamis ini.
RMK-11 adalah penting kerana ia akan menjadi transformasi terakhir dalam matlamat menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, dan dijangka menggariskan projek-projek berimpak tinggi.
Portal Parlimen Malaysia hari ini mendedahkan perbahasan mengenai RMK-11 dijangka mengambil masa enam hari mulai 25 Mei diikuti dengan jawapan daripada menteri-menteri selama tiga hari bermula 10 Jun ini.
Persidangan pada Isnin itu akan dimulakan dengan upacara angkat sumpah oleh dua orang anggota Parlimen yang baharu dipilih pada pilihan raya kecil Parlimen Rompin dan Parlimen Permatang Pauh, iaitu Datuk Hasan Arifin BN-Rompin dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail PKR-Permatang Pauh.
Terdahulu, Datuk Seri Wan Azizah telah dipersetujui oleh parti-parti pembangkang untuk diangkat sebagai Ketua Pembangkang, dan pelantikan itu dijangka diumumkan pada hari pertama persidangan esok.
Sementara itu, sebanyak lapan Rang Undang-Undang (RUU) akan dibawa untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Antara yang dijangka mencuri perhatian ialah RUU AntiPemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2015, berikutan insiden bot haram yang membawa 1,158 etnik Rohingya dan warga Bangladesh mendarat di Langkawi Ahad lepas.
RUU lain yang turut akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua termasuk RUU Kebajikan Haiwan 2015, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015 dan RUU Dadah Berbahaya (Pindaan)(No.2) 2014.
Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah dalam pada itu mendedahkan sebanyak 1,425 soalan lisan dan 545 soalan bertulis telah dikemukakan untuk sidang kali ini.
Untuk rekod Sesi mesyuarat kedua persidangan kali ini akan berlangsung selama 16 hari, dan dewan akan berehat selama empat hari dari 1 hingga 4 Jun bersempena cuti perayaan Hari Gawai.
Sidang dewan akan bersambung semula dari 8 Jun hingga 18 Jun dari Isnin hingga Khamis dari 10 pagi hingga 5.30 petang.