Skip to main content
Home

200 penyokong PKR sertai BN di Taman Siakap, Seberang Jaya

By 3 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

BUKIT MERTAJAM 2 Mei – Kira-kira 200 penyokong tegar Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Taman Siakap, Seberang Jaya di sini, berikrar tidak akan menyokong calon parti itu, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Rata-rata mereka memgambil keputusan itu kerana kecewa dipinggirkan wakil rakyat selepas PKR menang di kawasan berkenaan dalam pilihan raya umum lalu.

Wakil kumpulan itu, R. Sivakumar berkata, pelbagai masalah yang dibangkitkan masyarakat India di situ sebelum ini tidak mendapat maklum balas sehingga membuatkan mereka berasa tertipu.

“Banyak masalah yang membelenggu kami di sini terutama generasi muda kami yang gagal melanjutkan pelajaran akibat masalah kewangan.

“Namun apabila perkara ini dibawa kepada wakil rakyat PKR sebelum ini, tidak ada sebarang maklum balas yang kami terima,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk Seri S. Nallakaruppan di sini hari ini.

Sehubungan itu, mereka ber­ikrar menjadi ahli MIUP dan menyokong calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin pada 7 Mei ini.

Seorang lagi penduduk, S. Subraniam pula berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang dan wakil rakyat PKR hanya mahukan undi mereka tanpa mengambil berat kebajikan penduduk.

Malah tambahhya, permohonan kecil seperti untuk mendapatkan khemah bagi kegunaan aktiviti kemasyarakatan juga tidak pernah dipenuhi wakil rakyat sebelum ini.

“Itu hanya satu masalah kecil. Sebenarnya banyak lagi masalah yang tidak mereka selesaikan sehingga membuatkan kami rasa terpinggir,” katanya.

Sementara itu, Nallakaruppan berkata, beliau gembira kerana kumpulan berkenaan menyedari kemampuan BN untuk membantu masyarakat pelbagai kaum di ne­geri ini.

“Ketika ini saya difahamkan sentimen pengundi India di sini lebih cenderung kepada BN kerana mereka kecewa selepas 17 tahun, wakil rakyat PKR gagal membela nasib mereka,” katanya.

Berbanding Wan Azizah Wan yang mempunyai banyak masalah untuk diselesaikan, Nallakaruppan berkata, calon BN dilihat lebih berkemampuan untuk membela nasib pengundi di Parlimen ber­kenaan.

– UTUSAN/BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda