
KUALA LUMPUR, 31 Mei (Malaysiaaktif) — Isu sempadan dan perairan negara yang mudah dibolosi anasir luar boleh menjadi ‘bom jangka’ terhadap keselamatan negara jika gagal ditangani segera.
Penganalisis dan pakar aspek keselamatan berpandangan kerajaan perlu mengkaji, mengambil pendekatan baharu dan membuat penambahbaikan terhadap kawalan keselamatan di sempadan.
Ia termasuk membina sekatan, benteng, pagar dan menggunakan teknologi udara ‘drone’ untuk pengawasan.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) Datuk Kamaruddin Md Ali berkata langkah keselamatan di kawasan sempadan dan perairan negara tidak begitu berkesan selepas peristiwa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah Februari tahun lepas.
Menurutnya, sebelum peristiwa itu, warga Filipina boleh memasuki negara dengan mudah memandangkan rondaan di sempadan utara tanah air tidak begitu berkesan kerana masih ada lorong-lorong tikus yang membolehkan rakyat kedua-dua negara bebas keluar masuk.
Justeru, beliau menyarankan kerajaan meneruskan projek memagar kawasan sempadan darat negara dengan menggunakan tambahan alat teknologi seperti pemasangan kamera litar tertutup, CCTV dan juga dron dengan kadar segera.
Kamaruddin berkata kegagalan kawalan kawasan sempadan darat semakin jelas dengan kes terbaru penemuan 28 kem sementara yang menempatkan mangsa pemerdagangan manusia dan 139 kubur mangsa terbabit di Bukit Wang Burma di Taman Negeri Perlis, Wang Kelian.
Tegas beliau, anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sempadan hendaklah daripada mereka yang benar-benar jujur, amanah serta bertanggungjawab bagi mengelakkan penyelewengan dan bekerjasama dengan sindiket.
Walaupun kerajaan mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sebagai usaha keselamatan susulan pencerobohan di Lahad Datu, kes-kes penculikan di kawasan itu yang dipercayai melibatkan penjenayah dari Filipina terus berlaku.
Gajet moden juga perlu dipasang, seperti pagar yang sesuai dan dilengkapi sistem keselamatan terkini yang membolehkan pengawasan berkesan dan sistematik.
Penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar pula berkata kerajaan perlu melihat balik dan membuat penambahbaikan terhadap kelemahan yang wujud di sempadan negara.