Skip to main content
GlobalHomeViral

KPN Sahkan 139 Kubur, 28 kem Di Sempadan Malaysia-Thai

By 25 Mei 2015Tiada komen3 minit bacaan

 

WANG KELIAN, 25 Mei (Malaysiaaktif / Kemaskini) — Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan 139 kubur dan 28 kem berkaitan isu pemerdagangan manusia yang ditinggalkan, ditemui dalam kawasan Malaysia di Wang Kelian, sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata penemuan kubur itu termasuk satu kawasan perkuburan dan mayat reput yang hanya tinggal kulit dan tulang sahaja, dipercayai ditinggalkan tidak sampai dua minggu.

Bercakap kepada pemberita Malaysia dan asing hari ini, beliau berkata penemuan itu hasil ‘Op Wawasan Khas JKDNKA 2015’ oleh 300 anggota polis komando VAT 69 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dari 11 Mei hingga Sabtu lepas.

“Pendedahan ini membuktikan kerajaan Malaysia bersikap telus dan tidak menyembunyikan sebarang maklumat membabitkan isu pemerdagangan manusia,” kata Khalid.

Menurutnya reka bentuk kem berkenaan yang dipagar dan kawal rapi menggambarkan orang yang hendak diseludup tidak bebas bergerak.

“Secara fakta kem-kem ini ditemui, ada yang dipercayai diduduki sejak 2013 dan terbaru dua kem ditinggalkan antara dua hingga tiga minggu lepas.

“Polis masih belum dapat memastikan sama ada kubur-kubur ini mengandungi mayat manusia sehingga semuanya digali,” katanya.

Khalid berkata operasi itu dilancarkan susulan penemuan beberapa kubur besar dipercayai pendatang asing membabitkan sindiket pemerdagangan manusia oleh pihak berkuasa Thailand di sekitar Padang Besar dan Songkhla, baru-baru ini.

Menurutnya kumpulan mayat pertama dijangka dapat dikeluarkan petang ini oleh pasukan forensik terdiri 31 orang yang memasuki kawasan kem tersebut pagi tadi.

mayat 1

Foto: Malaysiaaktif

Katanya kawasan pencarian dalam operasi itu dibahagikan kepada sektor A, B dan C sepanjang 49.5 kilometer dari Kampung Wai dekat sini hingga tembok terakhir atau Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar.

“Maklumat-maklumat yang diperoleh menunjukkan sindiket membawa masuk tahanan mereka ke Malaysia melalui jalan yang sah atau lorong-lorong tikus di Padang Besar atau Wang Kelian selepas mendapat bayaran daripada orang-orang tertentu,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, pencarian di Sektor A bagi membawa keluar satu mayat yang telah reput.

Pasukan yang terdiri daripada 7 pegawai dan 24 anggota dari Forensik PDRM, Jabatan Siasatan Jenayah dan Unit Pemusnah Bom serta Pasukan Gerakan Am telah mula memasuki kawasan operasi pada pukul 9.20 pagi.

Mayat tersebut dijumpai dalam sebuah bangsal berukuran 48′ x 22′ pada jarak 1.5km daripada sempadan Malaysia-Thailand.

Mayat berkenaan terpisah kepada tiga bahagian dan dijumpai bersama kain sarung, baju panas, selimut dan seluar panjang.

Sebab kematian masih tidak dapat ditentukan dan mayat akan dihantar ke pakar patologi.

Ketua Polis Negara berkata mayat yang dikeluarkan nanti akan dibedah siasat untuk menentukan punca kematian dan akan ‘disempurnakan’ dan diberi penghormatan sebaik-baiknya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata 90 peratus dari 37 orang yang ditangkap tahun ini kerana terbabit dengan pemerdagangan manusia adalah penduduk Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan.

Katanya jumlah tangkapan pendatang asing tanpa izin di sempadan Perlis tahun lepas sebanyak 1,914 orang manakala dari Januari hingga April lepas berjumlah 1,305 orang.

“Tangkapan di sempadan Kedah pula berjumlah 2,094 tahun lepas, Kelantan (3,462 orang) dan Perak (966 orang) manakala dari Januari hingga April tahun ini sebanyak 853 orang (Kedah), 498 orang (Perak) dan 88 orang (Kelantan),” katanya.

Tinggalkan komen anda