Skip to main content
EkonomiHome

RMK11 Lengkapi Rancangan-Rancangan Sebelumnya

By 21 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

Oleh Syed Muhd Fauzi

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Malaysiaaktif) — Rancangan Malaysia telah menganjak ke angka 11 dan setiap satu melengkapi yang terdahulu sejak mula dilancarkan. Ini antara inti pati ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  di Parlimen pagi tadi dalam menyorot 10 pencapaian Rancangan Malaysia terdahulu.

Pertama, beliau berkata pada 1970 nilai Keluaran Negara Kasar (KDNK) mencatatkan RM71.1 berbanding RM1.1 trilion pada 2014. Beliau berkata, Malaysia juga turut berbangga kerana berjaya mencatat antara pertumbuhan ekonomi tertinggi di Asia dengan purata 6.2 peratus setahun sejak lima dekad lalu.

Kedua, Najib berkata dari sudut struktur ekonomi fokus telah beralih daripada negara dominan pertanian dengan KDNK 31.8 peratus pada 1970 kepada yang berasaskan pembuatan dan perkhidmatan dengan sumbangan 76.5 peratus.

Ketiga, pendapatan bulanan isi rumah juga meningkat lebih 20 kali ganda, daripada RM264 sebulan pada 1970 kepada RM6,141 sebulan pada 2014.

Sementara itu, Najib berkata pendapatan golongan pertengahan pada 1970 yang hanya RM166 meningkat kepada RM4,585 sebulan tahun lalu.

Keempat, setakat RMK10, sebanyak 76.1 peratus isi rumah sudah memiliki kediaman, sementara yang miskin (75.3 peratus) berjaya mempunyai rumah sendiri.

Perdana Menteri berkata sehingga kini 95.1 peratus penduduk di seluruh negara mendapat akses bekalan air bersih dan 97.6 peratus bekalan elektrik. Jika pada 1970 hanya 75 peratus rakyat boleh membaca dan menulis, kadar literasi sekarang telah meningkat kepada 98 peratus.

Ketujuh, sebanyak 27 peratus tenaga buruh sekarang berpendidikan tinggi, iaitu empat kali ganda angka enam peratus pada 1980 di penghujung RMK3.

Kelapan, Najib berkata kadar pengangguran telah menurun daripada 7.4 peratus pada 1970 kepada hanya 2.9 peratus pada 2014.

Kesembilan menurut beliau, hak milik Bumiputera dalam sektor korporat telah meningkat 10 kali ganda daripada 2.4 peratus pada 1970 kepada 23.5 peratus pada 2011.

Sementara itu, pencapaian kesepuluh menyaksikan kadar kemiskinan berkurangan daripada 49.3 peratus pada 1970 kepada hanya 0.6 peratus pada 2014. Najib berkata ini jelas membuktikan kemiskinan tegar telah berjaya dibasmikan.

Perdana Menteri berkata, daripada RMK1 hingga RMK10, negara telah memperoleh pelbagai kejayaan selain menempa anjakan positif yang membanggakan.

Tinggalkan komen anda