Skip to main content
HomeViral

Bekas Hakim: Boleh Saman JPJ Enggan Layan Kerana Pakaian

By 11 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Baru-baru ini gempar apabila seorang wanita Cina diarahkan supaya memakai kain sarung menutup kakinya yang terdedah, apabila berurusan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bekas Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Noor Farida Ariffin berkata JPJ tidak berhak untuk mengenakan peraturan yang didakwanya merupakan kod pakaian Islam, ke atas orang awam.

Beliau berkata, “Ia menyalahi undang-undang dan boleh dicabar di mahkamah.”

Noor Farida berkata demikian kepada Malay Mail Online pada Selasa.

Menurut beliau lagi, “ Mereka hanya boleh melakukannya jika undang-undang berkenaan, iaitu Akta Pengangkutan Jalan membenarkannya.”

Tambah beliau lagi, “JPJ sepatutnya mengehadkan kuasa kepada peranan dan fungsi yang dimandatkan di bawah akta berkenaan dan bukan menentukan pendirian moral seseorang.

Untuk rekod, Noor Farida merupakan seorang daripada anggota 25 orang bekas pegawai tinggi kerajaan kumpulan G25 yang mendakwa berjuang untuk kesederhanaan.

Noor Farida mempersoalkan sama ada seseorang itu boleh disekat daripada menerima perkhidmatan kerajaan sekiranya tidak melanggar undang-undang kesopanan awam.

Beliau juga bertanya sama ada keengganan mereka itu boleh dianggap sebagai pengabaian tanggungjawab.

Bekas Hakim itu berkata masalahnya rakyat Malaysia terlalu ambil mudah perkara-perkara sedemikian dan tidak ada siapa pun pernah mencabar jabatan-jabatan kerajaan berhubung pelaksanaan kod pakaian. Menurutnya, itu sebab mereka boleh melakukan sesuka hati.

Sementara itu, peguam kebebasan sivil, Syahredza Johan pula berkata seseorang itu boleh memohon kaji semula kehakiman (judicial review) di atas keengganan JPJ memberikan perkhidmatan disebabkan pakaian yang dianggap tidak sesuai.

Syahredza berkata kod pakaian di jabatan kerajaan bukan undang-undang dan penguatkuasaannya tidak mempunyai asas undang-undang.

Beliau berkata isu ini bukan permainan ‘campur tolak’ (zero sum gain) di mana seseorang itu boleh dinafikan perkhidmatan atau tidak dipedulikan.

Menurut beliau lagi, mereka sekurang-kurangnya boleh memberikan peringatan kepadanya mengenai kod pakaian, tetapi masih memberikan perkhidmatan, dan bukannya memaksa memakai kain sarung.

Tinggalkan komen anda