
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Tun Mahathir yang terkenal dengan jawapannya yang sinis, bersetuju dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau (Mahathir) di belakang berlakunya ‘krisis’ di Malaysia.
“Saya mengaku yang saya di belakang krisis ini…saya di belakangnya kerana wujud suasana ketakutan di negara ini,” kata bekas Perdana Menteri dalam satu post sinis pada blognya, chedet.cc.
Dr Mahathir berkata krisis ini dicetuskan beliau kerana bersuara bagi pihak mereka yang datang berjumpa dengan beliau supaya melakukan sesuatu mengenai kerugian yang dialami syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Jadi, mereka datang memberitahu saya…mereka meminta saya ‘buat sesuatu.’ Lama juga saya keberatan kerana saya tahu jika saya mendedahkan kesilapan 1MDB, akhirnya Perdana Menteri dipersoalkan.
“Saya telah mencuba secara peribadi, tetapi tidak berkesan. Saya bagi tahu Perdana Menteri yang saya tidak lagi menyokong beliau. Tiada hasil, jadi saya buat secara terbuka,” katanya.
Dr Mahathir menambah bahawa beliau membuat secara terbuka berhubung perkara tersebut supaya Barisan Nasional kekal sebagai parti memerintah pada pilihanraya umum akan datang.
“Seluruh negara akan menyaksikan kacau bilau disebabkan tiada parti mendapat majoriti untuk memerintah.
“Pembangkang pun tidak boleh kerana mereka bercakaran sesama sendiri…sebuah kerajaan Pakatan akan menjadi lemah dan tidak stabil.
“Tanpa kerajaan yang kuat, negara ini akan terjerumus ke dalam kancah anarki dengan didampingi krisis lebih teruk,” beliau berkata.
Dr Mahathir meletakkan kesalahan pada Najib pula.
“Adakah krisis? Memang ada.
“Krisis ini boleh dilenyapkan serta merta jika Perdana Menteri meletakkan jawatan dan memberi jalan kepada siasatan penuh berhubung wang RM42bil yang dipinjam oleh 1MDB,” tambah beliau lagi.
Dr Mahathir berkata sekiranya tiada kesalahan dilakukan dan semua wang dikembalikan, Najib boleh kembali sebagai Perdana Menteri dan memimpin Barisan Nasional pada pilihanraya akan datang.
Beliau berkata, “ Dengan menuduh saya bertanggungjawab ke atas krisis ini, Najib sebenarnya mengatakan marilah kita terima sahaja kehilangan berbilion ringgit dan buat seperti tiada apa yang berlaku.
“Perkara ini tidak boleh diketepikan. Mereka yang bertanggungjawab wajib disiasat dan jika didapati bersalah, mereka wajib dihukum,” kata Mahathir.