
POKOK SENA, KEDAH, 29 Jun (Malaysiaaktif) — Kumpulan kedua 30 jenazah pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya ditemui di Wang Kelian, Perlis bulan lepas dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Tualang, Pokok Sena awal pagi tadi.
Proses pengebumian peringkat kedua itu terdiri daripada 28 jenazah lelaki dan dua wanita.
Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Datuk Noh Dahya, kesemua jenazah lelaki itu dikebumikan dalam satu liang lahat manakala jenazah wanita dalam liang lahat berasingan
“Baki 55 jenazah mangsa pemerdagangan Wang Kelian yang masih menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dijangka dikebumikan sebelum Aidilfitri” katanya lagi
Ia merupakan lokasi yang sama menempatkan 21 jenazah kumpulan pertama yang dikebumikan Isnin lalu.
Pengurusan jenazah dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) bersama MKN dan turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), persatuan kebajikan Rohingnya Kedah dan penduduk tempatan.