Skip to main content
EkonomiHomeViral

Nazri Di Mesyuarat Tangani Penurunan Ketibaan Pelancong

By 18 Jun 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 18 Jun — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan di Parlimen yang antara lain bagi membincangkan cadangan ‘quick wins’ atau pemangkin jangka pendek bagi menangani penurunan ketibaan pelancong.

Mesyuarat itu juga bertujuan memaklumkan prestasi pelaksanaan Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFest 2015), stategik pelaksanaannya bagi menangani penurunan ketibaan pelancong sebanyak 8.6 peratus yang dicatatkan bagi suku pertama tahun ini.

Mesyuarat tertutup itu turut dihadiri antaranya Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menurut kenyataan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, antara strategi pelancongan ‘quick wins’ yang dibincangkan ialah meningkatkan kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa, misi galakan taktikal bersama penggiat industri Malaysia di negara-negara tertentu serta meningkatkan promosi melalui pemasaran digital.

Ia juga melibatkan penganjuran Malaysia Educational Seminar for Foreign Media, pengecualian visa bagi pelancong China dan meningkatkan usahasama promosi di negara itu antara kementerian dan agensi.

“Tahun Melawat Malaysia 2014 merupakan tahun yang paling mencabar bagi industri pelancongan negara dengan beberapa insiden seperti tragedi MH370, MH17, berita nahas pesawat Air Asia QZ8501, isu penculikan dan keselamatan perairan Sabah serta kejadian banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun kenyataan itu menyebut, industri pelancongan negara kekal berdaya tahan dan menunjukkan peningkatan yang positif walaupun negara berdepan pelbagai cabaran.

Ia menyatakan sebanyak 27.4 juta pelancong asing dicatatkan pada 2014 berbanding 25.7 juta bagi tahun 2013, iaitu pertumbuhan sebanyak 6.7 peratus.

Pendapatan pelancongan mencatat pertumbuhan 10 peratus iaitu RM72 bilion berbanding 65.4 bilion pada tahun sebelumnya.

“Berdasarkan laporan Barometer World Tourism Organization (UNWTO), Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan di tangga ke-13 bagi tahun 2014 dari segi pendapatan pelancongan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Dari segi ketibaan pelancong antarabangsa, Malaysia berada di tangga ke-12 pada 2014.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda