
SHAH ALAM, 14 Jun — Polis menggempur penempatan pendatang asing tanpa izin PATI di 4 kawasan perumahan di Shah Alam, awal pagi tadi.
Hasil serbuan itu, 43 warga asing ditangkap kerana melakukan pelbagai kesalahan. Ops Rantau Khas oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan Balai Polis Bukit Jelutong yang diketuai DSP Goh Lee Shen.
Disertai lebih 70 pegawai dan anggota, empat rumah kongsi di Persiaran Pulau Angsa, Perumahan Alam Suria, Perumahan Nusa Rhu dan Perumahan Bukit Bayu digempur.
Serbuan hasil aduan penduduk setempat yang bimbang mengenai tahap keselamatan mereka berikutan kebanjiran warga asing tinggal di kawasan itu. Seramai 43 warga Asia ditangkap kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Daripada 43 yang ditahan 40 adalah lelaki dan 3 wanita dari Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Vietnam.
Semua tangkapan dibawa ke IPD Shah Alam untuk siasatan lanjut.