
Oleh Diyana Zamri
PUTRAJAYA, 14 Julai 2015 (MalaysiaAktif) – Hampir 2000 “Like” berjaya diperoleh akaun palsu yang menyerupai akaun rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di laman sosial Facebook.
Pengendali akaun palsu tersebut memuat naik status dan aktiviti secara aktif hampir setiap jam membuatkannya kelihatan seperti ia dimuat naik oleh pengendali laman Facebook rasmi KPDNKK.
KPDNKK telah membuat laporan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan siasatan dijalankan dan seterusnya menyekat akaun tersebut daripada terus menyebarkan informasi dan maklumat palsu.
Kementerian itu memandang serius perkara ini kerana ia boleh mengelirukan orang ramai dan juga memburukkan nama baik kementerian.
Laman sosial Facebook rasmi KPDNKK boleh dilayari menerusi alamat www.facebook.com/myKPDNKK