Skip to main content
HomeViral

Mangsa Banjir Kg Mesilo Pindah Ke Pusat Sementara Desa Cattle

By 5 Julai 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

KOTA KINABALU, 5 Julai — Angin kencang dan hujan lebat sejak semalam menyebabkan 100 orang penduduk dari Kampung Mesilo, Kundasang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di balai raya KO Sinar (Desa Cattle) dalam kejadian terbaharu banjir lumpur, pada awal pagi tadi.

Ketua Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendi K Ramin berkata kesemua mangsa dipindahkan setelah rumah mereka dilanda banjir lumpur dalam kejadian pada kira-kira 3 pagi tadi.

“Pasukan bomba sedang melakukan pemantauan di lokasi kejadian dan mengarahkan penduduk Kampung Mesilo untuk berpindah ke pusat perlindungan itu sementara menunggu banjir dan paras air sungai kembali normal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, maklumat terkini banjir berkenaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Pegawai Daerah Ranau Faimin Kamin berkata pusat pemindahan telah dibuka di Biro Tatanegara (BTN) Kundasang tengah hari ini bagi menempatkan kesemua mangsa banjir lumpur itu.

Kesemua mangsa banjir kini dalam proses berpindah ke pusat pemindahan itu dari Desa Cattle, katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda