Skip to main content
HomeViral

Jawatankuasa PAS Shah Alam Letak Jawatan

By 20 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

PETALING JAYA, 20 Ogos — Yang Dipertua (YDP), timbalan dan naib YDP PAS Shah Alam mengemukakan perletakan jawatan mereka dalam parti.

Perletakan jawatan YDP, Azli Yusof; timbalan, Zulkifli Mohf Nani naib YDP, Mohamad Jamil Abd Rahim dan bersama 18 orang ahli jawatankuasa yang lain bagi sesi 2015-2017 berkuat kuasa pada Rabu.

Ketua sayap Dewan Muslimat PAS, timbalan ketua, naib ketua dan 11 lagi ahli jawatankuasanya turut meletakkan jawatan.

Keseluruhan jawatankuasa adalah dari Dewan Himpunan Penyokong PAS Shah Alam (DHPP) turut meletakkan jawatan mereka.

“Pengumuman rasmi dibuat semasa mesyuarat bahagian PAS kelima untuk sesi 2015-2017 yang diadakan pada Rabu. Tugas-tugas diserahkan kepada setiausaha PAS Shah Alam dalam keadaan yang saling memahami,” menurut satu kenyataan bersama.

“Perletakan jawatan itu bukan berniat untuk melemahkan jentera PAS Shah Alam, tetapi untuk memperjuangkan Islam dalam cara yang kita lebih yakin untuk melakukannya,” kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, tiga belas orang anggota dari 22 individu dari jawatankuasa sayap Pemuda PAS kawasan Shah Alam meletakkan jawatan mereka dalam keadaan politik semasa yang menjadi antara punca perletakan jawatan mereka.

Ketua Pemuda, Timbalan Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda dan 10 lagi ahli jawatankuasa meletakkan jawatan pada 11 Ogos lalu.

Timbul spekulasi perletakan jawatan mereka merupakan permulaan kepada penghijrahan dari PAS ke kumpulan Gerakan Harapan Baru (GHB).

Masih bergerak sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO), GHB dijangka melancarkan parti politik tidak lama lagi di bawah nama Amanah.

Sementara itu, pada Rabu seramai 183 ahli PAS meletakkan jawatan mereka dalam PAS kawasan Kota Raja. YDP bagi kawasan Kota Raja Jaafar Samsuddin bersama Ahli Parlimen Kota Raja Dr. Siti Mariah Mahmud mengumumkan perletakan jawatan mereka melalui sidang media yang diadakan pada petang semalam di di Pejabat Perkhidmatan Ahli Parlimen Kota Raja.

Menurut Raja Jaafar, kepimpinan utama PAS Kota Raja seramai 14 orang dan diikuti sembilan ketua cawangan serta 22 ketua cawangan Dewan Himpunan Penyokong Pas Kota Raja meletakkan jawatan serta merta.

Mesyuarat khas akan diadakan malam tadi bagi membincangkan isu ini serta penyerahan tugas kepada kepimpinan PAS Kota Raja. Menurut beliau, mereka lebih selesa dengan GHB bagi menjalankan tanggungjawab untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat di Kota Raja.

Dalam pada itu, Siti Mariah berjanji akan terus memberi perkhidmatan kepada rakyat di Kota Raja sebagai Ahli Parlimen. Beliau juga berkata akan terus kekal dalam PAS dan memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Sidang media itui turut mengumumkan perletakan jawatan kepimpinan PAS kawasan Klang dan Kapar. YDP PAS Kapar Ustad Nor Najhan Salleh,227 orang ahli dan YDP PAS Klang Mohd Prasad bersama tiga orang ahli AJK mengumumkan perletakan jawatan mereka.

Tinggalkan komen anda