Skip to main content
EkonomiHomeViral

Kerjasama MOHE MTUN – Huawei  Melahirkan Profesional ICT

By 24 Ogos 2015Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

CYBERJAYA, 24 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 40 orang pelajar empat rangkaian Universiti Teknikal di Malaysia (MTUN), iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terlibat dalam program Profesional ICT MTUN-HUAWEI anjuran HUAWEI Malaysia.

Bermula 3 Ogos 2015, mereka diberikan pendedahan kurikulum teknologi (ICT) yang meliputi IP, Wireless, Fixed, Transmission, dan Core Network.

Selain pengalaman makmal dan lapangan, peserta juga akan memperoleh Sijil Graduan Rangkaian Huawei (HCNG).

Menurut Ketua Eksekutif  Huawei Malaysia, Abraham Liu, kerjasamam industri dan pihak akademik merupakan kunci utama dalam mengekalkan kemajuan dalam bidang kemahiran dan teknologi.

Tambahnya, Huawei serius dalam usaha menyediakan graduan berpengetahuan dalam bidang ICT yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata,  setiap tahun Huawei melatih lebih 20, 000 orang jurutera di pusat latihan di Cyberjaya.

Huawei juga telah melatih lebih 10, 000 orang pensyarah dan pelajar melalui latihan makmal di lapan buah universiti terkemuka di Malaysia.

Syarikat tersebut  dalam proses memilih 20 pelajar Kejuruteraan Elektronik dan Sains Komputer untuk menyertai program ‘Seeds for the Future’, iaitu satu program lawatan sambil belajar di China Oktober nanti yang ditaja sepenuhnya oleh Huawei.

Program Profesional ICT MTUN-HUAWEI selama 45 hari ini dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di Huawei Global Training Center Cyberjaya pagi tadi.

Salah seorang peserta, Abdul Wafiy Abdul Rahman, pelajar UNIMAP yang berucap di majlis tersebut berkata program ini memberikan asas kukuh bagi menjamin kerjaya pada masa hadapan.

Dia yang bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera komunikasi menganggap program ini sebagai pengalaman cukup berharga, terutama dari aspek teori dan amali yang merupakan dua perkara cukup berbeza.

Program ini berakhir pada 14 September 2015.

 

Tinggalkan komen anda