
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
PUTRAJAYA, 13 Ogos (Malaysiaaktif) – Sekolah Perniagaan di Management & Science University (MSU), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Sains Malaysia (USM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) masing-masing memperoleh Akreditasi ABEST21(the Alliance on Business Education and Scholarship for Tomorrow, a 21st Century Organization).
Presiden ABEST21, Dr. Fumio Itoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Datuk Prof. Dr. Rujhan Mustafa hadir dalam satu acara menandatangani Memorandum of Arrangement (MoA) yang berlangsung tengah hari tadi di Kementerian Pendidikan Tinggi, Presint 5 Putrajaya.
Dengan termeterainya perjanjian tersebut, kedua-dua agensi bersetuju bahawa sekolah-sekolah perniagaan di Malaysia yang berhasrat untuk memohon penilaian akreditasi daripada ABEST21 perlu mendapat perakuan akreditasi daripada MQA.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh yang hadir sebagai saksi menganggap perjanjian ini membolehkan kedua-dua agensi saling mempelajari, melaksanakan peraturan dan tanggungjawab dalam menjamin kualiti pendidikan tinggi.
Tambahnya, MQA juga dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai autoriti global yang diperakui di peringkat dunia.