Skip to main content
Home

FAM- Surat Tunjuk Sebab  Negeri Sembilan – Insentif

By 23 September 2015September 26th, 2015Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Diyana Zamri

SHAH ALAM, 23 Sept (Malaysiaaktif) – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menunggu tindakan seterusnya oleh Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman berkaitan insiden kekacauan dan kekecohan penyokong di Stadium Shah Alam ketika kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia menentang Arab Saudi pada 8 September lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan hanya Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman berkuasa membuat keputusan berhubung surat tunjuk sebab yang telah dihantar oleh FAM pada Selasa.

“Mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997, apa sahaja surat tunjuk sebab mestilah menjawab kepada Pesuruhjaya Sukan. Apabila Pesuruhjaya Sukan telah membuat keputusan, barulah persatuan tersebut boleh melalui [membuat rayuan] kepada menteri.

“Jadi, mengikut undang-undang, saya belum lagi boleh masuk campur. Maksudnya, saya tidak boleh terlibat dalam keputusan pertama. Keputusan pertama, pertimbangan pertama mestilah dibuat oleh Pesuruhjaya Sukan. Selepas itu, sekiranya diambil tindakan, barulah FAM boleh merayu kepada saya.”

Beliau berkata demikian selepas melancarkan ‘Festival Score FitMob 2015’ bersempena dengan Hari Sukan Negara (HSN) di Kolej Universiti KDU di sini pada Rabu.

Zaiton telah memberi tempoh 14 hari kepada FAM untuk memberi surat tunjuk sebab dengan mengemukakan jawapan berhubung kekecohan  melibatkan penyokong bertindak liar membaling suar dan mercun ke dalam padang hingga memaksa perlawanan dihentikan pada minit ke-88. Malaysia sedang ketinggalan 1-2 kepada pasukan Arab Saudi ketika itu.

Sementara itu, Khairy memberikan reaksi positif apabila ditanya mengenai cadangan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memberi insentif berdasarkan prestasi berbanding gaji yang tinggi kepada pemain di bawah persatuan itu.

“Itu satu cadangan menarik. Itu hak Negeri Sembilan untuk mencuba satu formula di luar kotak. Saya ucapkan syabas kepada Datuk Seri Mohamad Hasan sebab beliau melihat kepada satu penyelesaian yang di luar kotak, iaitu berdasarkan kepada prestasi.

Mohamad, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, membuat keputusan itu berikutan prestasi skuad NS Matrix dalam saingan Liga Perdana musim ini kurang memuaskan.

 

Tinggalkan komen anda