Skip to main content
HomeViral

Menangani Persepsi Kadar Jenayah – MCPF

By 14 September 2015Tiada komen4 minit bacaan

 

Kenyataan Media Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye

Rakyat Malaysia telah dimaklumkan bahawa kadar jenayah negara telah menurun secara berterusan, susulan daripada initiatif dan tindakan pihak polis, namun tugas yang paling penting adalah untuk menangani isu persepsi negatif orang ramai dan juga mengukuhkan keyakinan masyarakat kepada pihak polis.

Menyedari hakikat bahawa mungkin ada kejadian jenayah yang tidak dilaporkan kerana pelbagai sebab, hakikatnya ialah bahawa persepsi masyarakat adalah sangat penting dan perlu diberi perhatian serius.

Saya tidak terkejut jika ada pihak tertentu yang akan mempertikaikan statistik pengurangan jenayah tetapi saya sentiasa percaya bahawa ini bukanlah masa untuk berdebat berkaitan statistik. Apa yang kita harus mementingkan ialah bagaimana untuk membuatkan orang ramai berasa selamat.

MCPF mengalu-alukan cadangan inisiatif baru di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengurangkan jenayah untuk mempertingkatkan perkhidmatan polis dan persepsi keselamatan masyarakat.

Saya percaya bahawa pihak polis begitu sensitif terhadap persepsi masyarakat dan perlu melakukan yang terbaik di bawah kuasa mereka untuk memperbaiki persepsi orang ramai terhadap keselamatan di negara kita.

Jenayah masih menjadi kebimbangan utama di kalangan rakyat Malaysia dan pendedahan ini tidaklah menghairankan memandangkan sesiapa sahaja boleh pada bila-bila masa menjadi mangsa jenayah ataupun saudara-mara atau kenalan rapat mereka menjadi sasaran penjenayah. Membaca berita jenayah setiap hari di media juga boleh menyebabkan wujudnya persepsi negatif terhadap isu keselamatan di negara kita.

Kita tidak harus melihat perkembangan ini sebagai negatif dari sudut pencegahan jenayah. Sebaliknya ia harus dilihat secara positif.

Hakikat bahawa jenayah merupakan kebimbangan utama rakyat Malaysia adalah mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat untuk memerangi jenayah serta mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap jenayah.

Ia juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mahu melihat lebih banyak usaha untuk menangani jenayah serta tidak memandang remeh isu berkaitan jenayah.

Kejadian jenayah telah menjadi isu kebimbangan utama kepada semua rakyat Malaysia. Jenayah kekerasan dan trauma harus dilihat secara serius bukan sahaja oleh kerajaan, agensi penguatkuasa undang-undang dan badan kehakiman tetapi juga oleh masyarakat kita secara keseluruhannya.

Sudah sekian lama saya telah menyarankan bahawa sungguhpun usaha memerangi jenayah adalah penting tetapi yang lebih penting ialah mencari punca sebenar berlakunya jenayah dan menanganinya.

MCPF berpendapat bahawa penagihan dadah merupakan salah satu punca utama berlakunya jenayah ragut, pecah rumah dan sebagainya.

Pada pandangan saya, penyebab kepada semua gejala sosial pada hakikatnya berpunca daripada keruntuhan moral yang serius yang menjejaskan generasi muda kita ditambah pula dengan kekurangan kemahiran keibubapaan dan bimbingan yang boleh mendorong anak-anak kita ke landasan yang betul.

Perkembangan pesat ekonomi negara dan pembangunan teknologi tidak seiring dengan pembangunan moral dan insan. Dalam era maklumat seperti sekarang ini, tiada siapa boleh menafikan tentang kepentingan ICT tetapi pada masa yang sama kita perlu sedar tentang kepentingan untuk menggalakkan pembangunan moral dan nilai-nilai yang penting demi menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya.

Pembangunan ekonomi dan teknologi tidak seharusnya mengorbankan elemen moral dan pembangunan insan yang sangat diperlukan untuk membendung masalah sosial yang kian melanda masyarakat kita.

Saya percaya bahan-bahan lucah yang mudah diperolehi merupakan salah satu faktor utama kepada peningkatan jenayah seksual. Bahan-bahan lucah melalui VCD cetak rompak dijual murah di merata-rata tempat. Terdapat juga ketagihan terhadap cybersex, bantuan seks, laman web lucah, dan sebagainya yang merosakkan minda anak-anak muda dan meruntuhkan ikatan perkahwinan. Terdapat juga masalah pil ecstasy dan pil peransang lain yang boleh diperolehi dengan mudah di pusat-pusat hiburan.

Kita perlu menangani jenayah melalui pelbagai pendekatan:

Dari aspek PENDIDIKAN, kita memerlukan program kesedaran yang berterusan untuk mendekati semua lapisan masyarakat serta mendidik belia dan remaja kita untuk menjauhkan diri daripada gejala sosial. Lebih membimbangkan kita adalah dengan mengambil kira kemunculan banyak penyakit sosial yang melanda belia dan remaja kita.

Pihak SEKOLAH perlu memperketatkan disiplin dengan bantuan para guru, ibu bapa dan pihak berkuasa yang berkenaan. Ibu bapa tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab mereka di dalam mendidik anak-anak dan perlu sentiasa memikirkan tentang hal anak-anak mereka , keselamatan di luar rumah dan di sekolah.

IBU BAPA perlu memainkan peranan untuk membimbing anak-anak membesar menjadi insan yang baik dan berguna.

KERAJAAN dan Penguatkuasaan Undang-Undang perlu bersungguh-sungguh untuk menguatkuasakan undang-undang demi kepentingan kesejahteraan masyarakat dan pencegahan jenayah, dan ia mesti dilakukan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

BADAN KEHAKIMAN juga perlu menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pihak pesalah.

Jika KEMAJUAN menjadi punca peningkatan kepada kadar jenayah, maka kita perlu menangani aspek negatif pembangunan ini di peringkat awal lagi.

 

Tan Sri Lee Lam Thye
Naib pengerusi
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Tinggalkan komen anda