Skip to main content
HomeViral

Leftenan Komander TLDM Hadapi Satu Lagi Pertuduhan

By 14 September 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

IPOH, 14 Sept (Malaysiaaktif) — Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat leftenan komander berhadapan dengan satu lagi pertuduhan menerima barang berharga tanpa balasan bernilai RM19,000, yang dipercayai ada kaitan dengan urusan pembekalan barangan ke TLDM.

Leftenan Komander Khairul Izwan Mohd Khir, 37, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini. Dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan ini.

Leftenan Komander Khairul Izwan menghadapi lima pertuduhan pada Rabu lalu di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Ipoh, Perak.

Dia antara pegawai TLDM yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mac 2015.

Leftenan Komander Khairul Izwan yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Kawalan Material 2, Depot Bekalan Armada TLDM, dituduh menerima jam tangan Bell & Ross bernilai RM19,000 daripada Hussin Roslim @ Roslind. Syarikat berkaitan dikatakan mempunyai hubungan kerja rasmi dengan tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 24 Mei 2013 di Pavillion Shopping Mall KL, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Dia dituduh di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda atau dipenjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan SPRM dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ida Adha Abu Bakar.

Hakim Rosbiahanin Arifin menetapkan jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 8 Oktober 2015.

Hakim juga bersetuju kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Ipoh untuk dibicarakan bersama lima pertuduhan sebelum ini.

 

Tinggalkan komen anda