
Oleh: Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari menasihati pengguna media sosial agar bersikap bertanggungjawab dalam menyebarkan berita.
Beliau menggesa pihak terbabit supaya memastikan berita yang dikongsikan itu sahih dan tidak mendatangkan kesan negatif kepada mana-mana pihak.
“Jangan sebab nak jadi ‘wartawan segera’ dan mengejar popular, kita melaporkan dan menyebarkan maklumat yang tidak benar sedangkan media sosial sepatutnya dijadikan platform untuk berkongsi maklumat positif,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Forum Komunikasi Dunia Kuala Lumpur (WCFKL) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Sementara itu, WCFKL 2015 yang dianjurkan itu diharapkan dapat memberi kesedaran kepada pengamal media yang lebih beretika dalam melaporkan berita.
Jailani berpendapat forum sebegini dapat memberi penyelesaian kepada penyebaran maklumat palsu yang sering dihadapi rakyat.
“Melalui panel yang berpengalaman, kita berharap Malaysia dapat menimba ilmu dan strategi baharu, seterusnya dapat mengatasi cabaran baharu media sosial dengan secara positif,” katanya.
Forum tersebut dianjurkan buat julung kalinya di Asia, dan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi tahun ini.
WCF yang asalnya bermula di Davos, Switzerland kini dianjurkan buat pertama kalinya di Asia.
Sebelum ini Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar melahirkan rasa kebimbangannya terhadap penyebaran maklumat palsu di laman sosial.
Beliau berharap pihak terbabit memandang serius isu tersebut kerana ia boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.