Skip to main content
HomeViral

Padang Merbok Bagaikan Lautan Merah Semasa Perhimpunan

By 16 September 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 16 Sept — Padang Merbok bagaikan lautan merah pada petang ini tatkala ribuan orang berkumpul bagi ‘Himpunan Rakyat Bersatu’ yang disertai ucapan-ucapan yang mempertahankan perlembagaan negara dan gesaan supaya menghormati hak Bumiputera dan kaum-kaum lain.

Perhimpunan itu – diterajui Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) dan disokong oleh pertubuhan bukan kerajaan yang lain – bermula di padang yang terletak di tengah bandar Kuala Lumpur pada kira-kira 3 petang.

Kebanyakan peserta yang memakai kemeja T berwarna merah sebelum itu berkumpul di beberapa loksi ditetapkan di sekitar ibu kota Pusat Dagangan Dunia Putra, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Negara dan Kompleks Kraf di Jalan Conlay sebelum berarak ke padang itu.

Pada kemuncak perhimpunan itu, padang itu dipenuhi peserta sehingga melimpah ke kawasan sekelilingnya dengan dipantau rapi oleh anggota polis yang ditugaskan untuk memastikan keamanan dan ketenteraman awam terjamin.

Ucapan berkenaan turut diselang-seli dengan deklamasi puisi dan peserta menyanyikan lagu-lagu patrotik.

Peserta perhimpunan, yang juga datang daripada beberapa negeri, turut melaungkan slogan sambil mengangkat sepanduk dan poster.

Acara itu diadakan sebagai tindak balas terhadap perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos yang didakwa oleh penganjur perhimpunan hari ini telah menunjukkan rasa tidak hormat terhadap pemimpin Melayu.

Antara peserta perhimpunan itu ialah anggota Parlimen (MP) Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, MP Pontian Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa, Presiden Pesaka president Tan Sri Ali Rustam, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, Presiden Pekida Jamaludin Yusof dan Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia Datuk Jamal Md Yunus.

Peserta perhimpunan di Padang Merbok mula bersurai pada kira-kira 5.30 petang.

Walaupun perhimpunan berlangsung dengan aman di padang itu, polis terpaksa berdepan dengan peserta degil yang berkeras mahu memasuki kawasan yang tidak dibenarkan seperti Bukit Bintang dan Jalan Petaling. Meriam air digunakan untuk menyuraikan mereka.

Penganjur perhimpunan itu kemudiannya menyatakan mereka tiada kaitan dengan kalangan yang mencetuskan masalah di Jalan Petaling.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda