
Oleh Seri Ayu Wardiah Samsuddin
SHAH ALAM, 7 Sept (Malaysiaaktif) — Kerajaan negeri Selangor dan kerajaan persekutuan akhirnya berjaya memuktamadkan penstrukturan industri air di Selangor dengan perjanjian yang bakal ditandatangani esok bersama Aset Air Berhad (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata kerajaan negeri berharap kerjasama tersebut akan berterusan tanpa masalah di masa akan datang.
“PAAB juga berpuas hati dan berterima kasih kepada kerajaan negeri di atas kerjasama yang diberikan bagi memuktamadkan perjanjian yang diharapkan sebelum ini.
“Kadar perjanjian selama 45 tahun sudah dipersetujui dan kini dalam peringkat pelaksanaan,”katanya.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas berhubung pemeteraian pemindahan aset air Selangor di antara PAAB dan Air Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam.
Sementara itu, perjanjian yang berlangsung hari ini menyaksikan pemeteraian empat perjanjian di antara PAAB dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, iaitu perjanjian kemudahan, perjanjian pajakan,perjanjian hak penggunaan dan perjanjian penyelesaian.Dengan termeterainya perjanjian-perjanjian ini , Perjanjian Utama akan berkuatkuasa mulai 9 September 2015.
Perjanjian ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Selangor, Haji Suhaimi Kamaralzaman dengan disaksikan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Dr. Maximus Ongkili dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.