Skip to main content
HomeViral

PDRM Buka Tiga Kertas Siasatan Terhadap Tun M

By 22 Oktober 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka tiga kertas siasatan berikutan beberapa aduan yang dibuat terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dua daripada tiga siasatan sedang dijalankan yang merujuk kepada apa yang didakwa sebagai perbuatan memfitnah

“Pihak polis telah membuka dua kertas siasatan terhadap aduan yang dibuat terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu berkaitan Klang Report 33074/14 dan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah,” katanya dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk ulasan dan arahan lanjut setelah siasatan selesai dijalankan.”.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memaklumkan satu lagi kertas siasatan telah diberikan Kepada Jabatan Peguam Negara  untuk tindakan seterusnya.

“Pihak polis juga menjalankan siasatan berkait Jinjang Report 18448/2015 dan siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya telah menghantar pegawai untuk merakam percakapan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah ketika perhimpunan Bersih 4, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

 

Tinggalkan komen anda