
Oleh Zihan Zari (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 27 OKT (Malaysiaaktif) — Generasi muda di Malaysia meraih peratusan tinggi dengan hampir separuh daripada jumlah penjawat awam, iaitu 45.1 peratus % terdiri daripada Generasi Y (1977-1997).
Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara, Datuk Dr. Mazlan Yusoff, berkata pelbagai kisah kejayaan dan kebaikan telah dilakar di atas kanvas pembangunan negara oleh generasi terdahulu dan perlu disambung semula oleh Generasi Y pada hari ini.
Beliau menegur mereka yang cenderung mengaitkan aspek usia dan kebolehan untuk memimpin dengan melemparkan andaian kononnya pemimpin muda kurang kredibiliti dalam kepimpinan disebabkan usia.
Menurut beliau, ini mewujudkan gambaran dan seterusnya tanggapan negatif terhadap generasi muda.
Mazlan berkata demikian di Seminar Kepimpinan Muda Merai Perbezaan, Mencari Persamaan anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Kampus Wilayah Utara hari ini.
Beliau berharap semua ketua jabatan dapat memahami kehendak dan keperluan golongan muda dalam organisasi masing-masing demi kelangsungan perkhidmatan awam yang gemilang serta bersama membina kekuatan daripada perbezaan antara generasi yang ada.
Persamaan yang wujud di seluruh dunia ialah generasi ini dilengkapi pelbagai kemajuan teknologi dan sering berkomunikasi melalui WTF – Whatsapp, Twitter dan Facebook dan pelbagai media sosial lain.
Tambahnya, seminar ini dapat dijadikan platform penjawat awam menambah khazanah pengetahuan baharu, meluaskan perkongsian pengalaman sesama pegawai muda pelbagai sektor dan seterusnya memantapkan hubungan jaringan.
Pembantu Tadbir Kewangan, Muniandy Soundrajan, 24, berkata generasi Y memiliki bakat dan potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan perlu bekerjasama dengan generasi Baby Boomers (1946-1964) dan Gen X (1965-1976).
Pegawai Veterinar, Mahadhir Mustafa, 37, berpendapat pembangunan negara masa hadapan akan diteruskan oleh generasi muda hari ini yang mempunyai pendidikan lebih baik, sikap kompetitif dan berfikiran jauh.
Beliau berkata mereka boleh menggunakan keupayaan sendiri sebagai sumber kebolehan, daya keusahawanan dan kepimpinan.
Aishah Musa, 38, pula berpendapat sikap saling menghormati dan persefahaman penting untuk memastikan sesebuah organisasi mencapai matlamat. Tambahnya, kepelbagaian generasi memberi kelebihan dalam mendapatkan pelbagai idea baru dan kreatif untuk kejayaan sesebuah organisasi.
Sempena seminar turut diadakan, sesi perbincangan bertajuk “Memperkasakan Perhubungan Inter Generasi” dikupas oleh ikon Generasi X dan Y yang mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing, iaitu Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Sains Malaysia, Dr. Salmi Mohd Isa, Pengarah Urusan, Ibrah Paradigm Training and Consultancy, Ustaz Muhammad Syaari Abd Rahman, Pengurus Pembangunan dan Kawalan Kandungan TV Al-Hijrah, Azmel Abrar dan Pengarah INTAN Wilayah Utara, Dr. Zurina Abdul Hamid.
Hadir sama , ikon Generasi Baby Boomers, Pakar Psikologi Hospital, Kuala Lumpur, Profesor Datuk Dr. Mat Saat Baki yang turut sama mengadakan sesi perkongsian ilmu kepelbagaian generasi bertajuk “Satu Keistimewaan Dalam Perkhidmatan” .
Seminar sehari ini menghimpunkan 185 orang penjawat awam daripada pelbagai agensi kerajaan dan Badan Berkanun mewakili empat generasi (Baby Boomers, Generasi X, Generasi Y dan Generasi Z) dari zon utara melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.