Skip to main content
EkonomiHomeViral

Syor ASEAN Jadi Pertubuhan Berasaskan Peraturan

By 20 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 20 Nov  — Pasukan Petugas Khas Peringkat Tinggi ASEAN telah mengemukakan kira-kira 30 cadangan kepada Sekretariat ASEAN bagi memperkukuhkan badan serantau itu supaya menjadi efektif dan memenuhi visi berpaksikan rakyat, kata Setiausaha Agung ASEAN Le Luong Minh.

Beliau berkata cadangan itu juga mengesyorkan ASEAN dijadikan pertubuhan lebih berasaskan peraturan yang akan menjadikannya mempunyai lebih kuasa dalam memantau kemajuan pembentukan Komuniti ASEAN yang dijadual direalisasikan akhir tahun ini.

“Pelaksanaan Komuniti ASEAN 2015 dan Visi Komuniti ASEAN 2025 akan menyaksikan lebih banyak kerja.

“Sebab itu kenapa usaha memperkukuhkan institusi ASEAN amat penting, supaya ia dapat melaksanakan komitmen-komitmen dalam fasa kedua penyatuan Komuniti ASEAN,” katanya kepada dalam temu bual bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 18 hingga 22 Nov.

Le berkata di bawah kepengerusian Malaysia, ASEAN telah melaksanakan pelbagai program berpaksikan rakyat yang telah dapat merapatkan jurang di semua lapisan masyarakat di rantau itu.

Ini termasuk program televisyen membabitkan rantau ini seperti GOASEAN dan Anugerah Warga ASEAN yang julung kali diadakan untuk anggota masyarakat yang menyumbang terhadap proses pembinaan Komuniti ASEAN, katanya.

“Kami telah dapat menyaksikan interaksi lebih baik antara pemimpin dan pihak berkepentingan ASEAN seperti masyarakat madani, belia dan rakyat, kalangan anggota Parlimen,” katanya.

Setiausaha Agung ASEAN itu turut menegaskan bahawa ASEAN tidak lemah, seperti didakwa pihak tertentu, dalam isu rentas sempadan seperti memastikan syarikat-syarikat mematuhi peraturan dan pengeksport perlu memenuhi syarat kandungan buatan ASEAN.

Beliau mengambil perhatian penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akan menyaksikan ASEAN bebas cukai menjelang 2018.

“Tidak ada lagi cukai antara negara ASEAN. Jadi aliran barangan dan perkhidmatan, serta pelaburan menjadi lebih bebas kelak,” jelasnya.

Le berkata untuk memastikan kejayaan teras ekonomi Komuniti ASEAN, rantau itu juga akan menumpukan pada usaha menghapuskan halangan bukan tarif untuk memastikan barangan dan perkhidmatan serta pelaburan boleh bergerak bebas dalam erti kata sebenar di antara negara ASEAN.

 

Tinggalkan komen anda