Skip to main content
EkonomiHomeKelantan

Kerajaan Sahkan 359 Rumah Mangsa Kelantan Siap Februari

By 16 November 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Malaysiaaktif) — Kerajaan hari ini memaklumkan projek pembinaan 359 Rumah Kekal baharu (RKB) khas untuk mangsa banjir di Kelantan akan siap sepenuhnya Februari tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan walaupun terdapat beberapa halangan termasuk bencana banjir yang akan dihadapi tidak lama lagi, pihaknya akan terus menyiapkan projek itu seperti yang dirancang.

Beliau berkata bilangan rumah tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan 1,123 rumah yang perlu disiapkan dengan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) dan konvensional di negeri itu.

“Sebanyak 500 RKB akan dibina kerajaan negeri Kelantan manakala baki 187 RKB pula akan dibina badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta melalui sumbangan yang diterima dan diberikan,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Shahidan berkata daerah yang mempunyai risiko berdepan banjir telah diarahkan untuk mengadakan latihan simulasi banjir bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Latihan sebelum banjir ini membolehkan mereka tentukan siapa yang akan buat kerja, NGO mana yang akan buat kerja supaya tidak jadi kelam kabut bila berlaku banjir nanti,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan sehingga akhir Julai lepas sebanyak 262 rumah kekal mangsa banjir siap dibina di negeri tersebut, di mana sebanyak 75 daripadanya dibina kerajaan negeri.

Baki 50 rumah lagi dibina kerajaan pusat, manakala 137 rumah disiapkan badan bukan kerajaan (NGO).

 

Tinggalkan komen anda