Skip to main content
HomeViral

Tidak Akan Tunduk Kepada Ugutan – Hishamuddin

By 16 November 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Faris Fuad (Parlimen)

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Malaysiaaktif) — Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan pihaknya tidak akan tunduk takut sekiranya objektif mereka adalah untuk mengugut pemimpin negara susulan serangan pengganas tempoh hari.

Beliau menggesa para pemimpin untuk menolak penuh ancaman tersebut bagi menutup segala ruang yang ada untuk menghalang  mereka menyebarkan kuasa dalam negara.

“Kita tidak takut atau tunduk kepada mereka. Kalau kita benarkan mereka bermaharajalela, akhirnya kita terpaksa berdepan dengan suatu situasi di mana mereka menguasai keadaan dan ini kita tidak boleh benarkan.

“Bagi saya kalau mereka nak cuba ugut dan hendak menakutkan pemimpin negara, ia tidak akan berjaya,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen sebentar tadi.

Hishammuddin memaklumkan kerajaan sentiasa bersedia dan bersemangat tinggi dalam menentang kumpulan pengganas tersebut.

“Mereka tidak akan berjaya kerana iltizam dan semangat kita untuk berdepan dengan kumpulan pengganas ini, walaupun fenomena baru, walaupun pendekatan mereka berbeda daripada dulu.

“Bila kita berdepan dengan Al-Qaeda, Jemaah Islamiah (JI), Mat Selamat dan Nordin Mat Top ia tidak ada beza. Bila kita menentang mereka, kita menentang mereka kerana mereka merupakan risiko kepada keselamatan dan pertahanan negara dan itu pegangan kita dalam apa juga keadaan,” kata Hishammuddin.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa Malaysia telah mengambil tindakan tegas berkaitan ancaman IS.

“Kita telah mendapat persetujuan 10 negara ASEAN untuk menentang mereka. Kita merupakan negara Islam yang sederhana. Apa sahaja yang menentang militan IS, itu yang Malaysia bersetuju,” katanya.

Menteri Pertahanan itu turut menggesa semua pihak terbabit untuk memberi kerjasama penuh dalam menangani isu itu dan tidak memandang ringan ancaman tempoh hari.

Beliau enggan mendedahkan nama-nama pemimpin negara yang menerima ancaman pengganas.

Namun, Hishammuddin mengesahkan beliau antara individu yang menerima ancaman pengganas semalam.

“Ancamam dan juga ugutan itu saya mengesahkan ia terhadap pemimpin-pemimpin negara ini. Ia merupakan sesuatu yang telah dilaporkan kepada saya tempoh hari dan telahpun dimaklumkan kepada orang ramai.

“Ini bermakna bahawa keselamatan negara, pemimpin, dan serantau dalam konteks ancaman tidak boleh diambil mudah kerana sesiapa sahaja boleh menjadi individu yang membawa huru-hara. Tengoklah apa yang berlaku pada Perancis hari ini,” katanya lagi.

 

Tinggalkan komen anda