Skip to main content
HomeViral

Dewan Rakyat Tangguh Hingga Tahun Depan, Luluskan RUU

By 4 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 4 Nov — Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-13 yang bersidang sejak 19 Oktober lepas ditangguhkan pada pukul 12.40 tengah malam Khamis sehingga ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian pada tahun depan.

Sepanjang persidangan selama 25 hari itu, beberapa rang undang-undang diluluskan termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 yang memperuntukkan RM267.22 bilion untuk perbelanjaan kerajaan.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 diluluskan Selasa lepas selepas dibahaskan di peringkat dasar dan jawatankuasa sejak 26 Oktober. Sebelum itu, rang undang-undang itu yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober lepas, diluluskan di peringkat dasar pada 16 November lepas.

Ia kemudian dibahaskan di peringkat jawatankuasa selama sembilan hari bermula 17 November.

Rang undang-undang lain termasukh Rang Undang-undang Profesion Kesihatan Bersekutu 2015, Rang Undang-undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015, Rang Undang-undang Kewangan 2015, Rang Undang-undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2015, Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015 dan Rang Undang-undang Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2015.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini juga meluluskan usul menggantung anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang daripada persidangan selama enam bulan pada 22 Oktober lepas selepas tidak menarik balik kenyataan dan memohon maaf tanpa syarat berhubung tuduhannya terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Dalam masa sama, Dewan Rakyat turut membincangkan usul jerebu merentas sempadan yang melanda negara dan rantau Asia Tenggara baru-baru ini.

Selain itu Dewan Rakyat turut meluluskan usul Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Berikutan persempadanan semula itu, Sarawak akan mempunyai 82 kerusi DUN berbanding 71 pada masa kini.

Bahagian pilihan raya yang baharu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.

Pada sesi akhir persidangan pada Khamis, Dewan Rakyat gamat apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi penerangan di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) berkaitan isu dana politik RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun anggota Parlimen pembangkang membantah Ahmad Zahid untuk memberi penerangan itu, dan mahukan perdana menteri sendiri yang memberikan penjelasan, tetapi, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bertegas untuk membenarkan Ahmad Zahid berbuat demikian.

Pandikar Amin berkata, tindakan penerangan oleh Ahmad Zahid itu dibenarkan sebagai pihak menteri yang mewakili perdana menteri bagi memberi penjelasan.

Selepas itu, Dewan Rakyat kembali gamat apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan usul untuk merujuk Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan pertemuannya dengan Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III yang mengarahkan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan usul itu.

 

– Bernama

 

Tinggalkan komen anda