Skip to main content
HomeViral

Dunia Politik Sentiasa Berubah, Hanya Allah Kekal – Shahrizat

By 9 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (PWTC)

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Malaysiaaktif) —Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengingatkan ahli Umno bahawa dunia politik akan sentiasa berubah selari dengan objektif dan perjuangan parti.

Beliau berkata tiada yang kekal di dunia ini selain tuhan.

“Tiada siapa yang kekal melainkan Allah S.W.T, saat demi saat keadaan sentiasa berubah, apatah lagi kita dalam arena politik.

“Perubahan itu datang dalam pelbagai rupa. Kadangkala kita yang membawa perubahan, dan ada kalanya kita terpaksa menerima perubahan,” katanya semasa berucap di PWTC hari ini.

Jelasnya, perubahan itu harus dilihat sebagai peluang kepada pucuk pimpinan parti untuk memperkasakan lagi imej dan perjuangan parti.

“Yang pentingnya sebagai pemimpin Umno apa juga perubahan yang kita pelopori mahupun yang terpaksa kita lalui, mesti berpaksikan perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahrizat memaklumkan pihaknya sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Wanita itu turut menegaskan pucuk pimpinan Umno mempunyai cukup pengalaman dalam menangani masalah dalaman parti.

“Kita ikut tradisi, kita sokong Presiden kita. Kita sokong pemimpin-pemimpin kita.

“Maka pada akhirnya kita mampu keluar dari daripada kemelut krisis dengan mencapai kejayaan yang membanggakan. Mentaati pemimpin menjadi kekuatan yang dicemburui mereka yang ingin memusnahkan parti yang subur dengan pejuang bangsa yang berjiwa kental,” jelasnya.

Berikutan itu,beliau menggesa ahli-ahli lain untuk terus memberikan sokongan kepada presiden parti supaya pihak lain tidak mengambil peluang menjatuhkan kredibiliti Umno.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar Presiden, Najib berehat daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri buat seketika sehingga masalah yang melanda negara selesai.

 

Tinggalkan komen anda