Skip to main content
EkonomiHomeViral

Bukan Susah Diterima, Jadi Popular – KJ

By 9 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (PWTC)

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Malaysiaaktif) —Pucuk Pimpinan Pergerakan Pemuda Umno harus segera tampil ke depan sekiranya terdapat isu yang perlu diselesaikan.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berpendapat parti harus segera memberi respons dalam apa jua masalah untuk memastikan sistem pentadbiran terus telus dan adil.

“Sebab itulah kita bangkitkan isu-isu penting yang sudah lama bersarang di fikiran rakyat, terutamanya orang muda. Bukan susah untuk diterima dan menjadi popular di kalangan rakyat.

“Kalau ada tuduhan, jawab dengan cepat dan menyeluruh. Buktikan kita telus dan mengamalkan tadbir urus yang baik. Tunjukkan pada semua tidak ada apa yang hendak kita sembunyikan,” katanya ketika menyampaikan ucapan Dasar dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno di PWTC hari ini.

Dalam pada itu, Khairy menegaskan partinya tidak pernah mengambil pendekatan mudah dalam memenangi hati rakyat terutama anak muda.

Jelasnya, pihaknya boleh menolak dasar-dasar kerajaan yang tidak popular di kalangan rakyat namun tidak berbuat demikian.

“Kalau hendak jadi populis, paling mudah Pemuda bantah sahaja GST, bantah TPP, bantah segala usaha menstrukturkan subsidi. Mudah tetapi tidak bertanggungjawab.

“Namun Pemuda tidak buat begitu.  Sebaliknya, kita anjurkan forum untuk jelaskan semua isu-isu ini. Kita sertai debat dan berdepan dengan mahasiswa untuk menjawab segala persoalan dan ketidakpuashatian,” katanya lagi.

Menurutnya, Pemuda Umno menyedari perlaksanaan baru seperti GST, penstrukturan subsidi dan sebagainya harus dibuat demi masa depan ekonomi negara namun pihaknya sentiasa membuka ruang untuk rakyat menyuarakan pendapat dan idea baru.

Khairy juga memaklumkan kritikan boleh dilontarkan kepada parti tertentu sekiranya ia memberi perubahan positif.

“Bila ada tuduhan berat seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, takkan kita diam tidak minta penjelasan?

“Bila kita nyatakan pendirian, bukanlah niatnya untuk menuduh, tetapi untuk kita memperjelaskan keadaan dan menjernihkan semula imej kerajaan dan parti di mata rakyat.

“Namun bicara saya ini jangan disalahertikan,” tegasnya.

 

Tinggalkan komen anda