Skip to main content
HomeViral

Polis Nasihat Penumpang MH741 Buat Laporan

By 16 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR , 16 Dis (Malaysiaaktif) — Polis menasihatkan Penumpang pesawat MH741 dari Yangon, Myanmar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang gagal menjalani pemeriksaan Imigresen setelah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi supaya membuat laporan segera di balai terdekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya akan memastikan masalah itu akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Kita minta mereka ini segera melaporkan ke balai polis berdekatan untuk di rujuk kepada Jabatan Imigresen.

“Kita akan bekerjasama dengan Imigresen untuk mengatasi masalah ini,” katanya selepas merasmikan PDRM Green Day Programme di Pulapol hari ini.

Khalid menegaskan setiap individu yang memasuki negara perlu melalui prosedur yang betul.

Jelasnya, MAS perlu memandang serius isu tersebut bagi mengelakkan ia daripada berlaku lagi.

Pesawat yang membawa 135 penumpang itu dilaporkan terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kerana cuaca buruk.

Dalam perkembangan lain, beliau menyelar dakwaan beberapa pihak yang mengkritik penglibatan pegawai polis dalam Seminar Ancaman Gerakan Permurtadan Kristianisasi di Melaka tempoh hari sebagai tidak wajar.

Khalid berkata penyertaan anggotanya jelas tidak menyalahi undang-undang.

“Apa undang-undang yang telah dilanggar pada seminar itu? Kita telah dijemput untuk beri pandangan mengenai aspek keselamatan khusus dalam hal mengkristiankan orang Melayu Islam.

“Polis sedia beri pandangan kepada pihak yang ingin kristiankan orang Melayu dan akan bagi tutor tentang peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkenaan tindakan itu,” katanya lagi.

Sebelum ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganjurkan sebuah seminar bertajuk “Ancaman Gerakan Pemurtadan Kristianisasi” di kampus Lendu, Melaka, yang dilaporkan melibatkan seorang pegawai Cawangan Khas dari Bukit Aman.

 

Tinggalkan komen anda