Skip to main content
HomeViral

Azmil Mustapha Bernafas Sendiri Tanpa Bantuan Alat – Adik

By 16 Januari 2016Januari 17th, 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

PUTRAJAYA, 16 Jan — Pelakon era 80-an Mohd Azmil Mustapha yang terkenal dengan filem ‘Ali Setan’ kini boleh bernafas sendiri tanpa bantuan alat bantu pernafasan, menurut adik bongsunya Mohd Aziph.

Beliau berkata doktor pakar di Unit Jagaan Koronari Hospital Putrajaya telah memberhentikan sepenuhnya alat ventilator dan mengurangkan dosage ubat bius sekitar 12.00 tengah hari tadi.

“Sekarang ini saya amat kagum dengan progress abang Azmil. Dan saya amat bersyukur kehadrat Ilahi,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Semalam, media melaporkan pelakon terkenal itu dimasukkan ke Hospital Putrajaya selepas mengadu sesak nafas dan sakit di bahagian dada.

“Maka sekarang ini abang (Azmil) bernafas dengan sendirinya dan telah pun sedar. Namun abang masih mamai, dek ubat yang banyak dalam badannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Aziph berkata kaum keluarga tidak dibenarkan mempunyai sentuhan fizikal serta tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik Azmil buat masa ini.

“Tiada konteks fizikal dibenarkan. Apa yang saya nampak sebentar tadi, dia terbatuk-batuk. Abang boleh mendengar arahan jururawat lelaki yang sedang membantunya ketika itu. Apabila diminta pusing, dia pusing, dan apabila disuruh membuka mulut dia ternganga,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Aziph turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan terhadap abangnya itu.

Pada masa sama, beliau turut meminta maaf kepada pelawat yang tidak berkesempatan melawat abangnya disebabkan mereka datang di luar waktu melawat.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda