Skip to main content
EkonomiHomeViral

BN, Pembangkang Sokong Jawatankuasa Khas Pantau TPPA

By 27 Januari 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Malaysiaaktif) — Pihak pembangkang mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi memantau pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Ahli Parlimen DAP-Serdang, Ong Kian Ming berpendapat ahli jawatankuasa tersebut dapat memeriksa perjanjian itu secara terperinci sebelum ia ditandatangani.

Jelasnya, mereka juga boleh memantau perubahan dan pindaan undang-undang sekiranya TPPA dilaksanakan.

“Saya hendak beri cabaran. Kalau menteri dan kerajaan Barisan Nasional yakin faedah penyertaan Malaysia dalam TPPA, berani ke kerajaan tubuhkan jawatankuasa khas Parlimen untuk pantau pelaksanaan TPPA dua tahun sebelum dilaksanakan.

“Sekurang-kurangnya 26 pindaan akta yang mesti dipinda. Jadi kerajaan terutamanya sumber manusia kena buat kajian terperinci untuk tahu impak ambil pekerja asing dalam masa serentak.

“Jika ada jawatankuasa pilihan khas termasuk pembangkang, kita boleh pantau perubahan prosedur dan piawaian syarat-syarat TPPA kerana banyak pindaan perlu dibuat dari segi prosedur dan pekeliling,” katanya ketika membahaskan mengenai TPPA di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu,ahli Parlimen BN-Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad berpendapat cadangan tersebut wajar dipertimbangkan pihak kerajaan.

Tambahnya, perkara baik harus disokong demi masa depan negara.

“Cadangan Serdang munasabah sebab banyak pindaan yang akan dibuat.

“Mungkin perkara ini boleh dipertimbangkan kerajaan supaya pelaksanaan akan dibuat cara baik,” katanya.

Dalam pada itu, ahli Parlimen Pan-Shah Alam, Abdul Khalid Samad menegaskan pihak atasan perlu mengambil kira pendapat dan pandangan ahli jawatankuasa itu sekiranya ia dilaksanakan.

“Cadangan ini baik, setuju sepenuhnya tetapi kalau jawatankuasa ini tidak diambil endah oleh pihak eksekutif, tidak guna juga,” katanya.

 

Tinggalkan komen anda