Skip to main content
PutrajayaWilayah Persekutuan

1MHH Meriahkan Perniagaan Ala “Food Truck”

By 25 Mac 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 25 Mac  (Malaysiaktif) –? Konsep Food Truck atau perniagaan bergerak yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia kini dimeriahkan lagi dengan pelancaran 1Malaysia Mobile Hawkers (1MHH) oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor di Monumen Alaf Baru, di sini semalam.

Menurut Tengku Adnan, Food Truck yang bermula di Amerika Syarikat kini menjadi pilihan orang ramai oleh sebab konsepnya yang ringkas, santai dan cepat. 1MHH membantu mewujudkan persekitaran yang menarik seterusnya menangani kos sara hidup.

Tengku Adnan turut tertarik dengan rekaan iklan di trak-trak para peniaga di sini yang begitu kreatif dan masing-masing mempromosikan perniagaan menerusi Facebook, Instagram dan Whatsapp.

Tambahnya, untuk berjaya usahawan hari ini perlu sentiasa konsisten dari segi disiplin, rasa dan harga pula perlu lebih berpatutan kerana tidak melibatkan sewaan premis.

Sementara itu, selaku Ketua Projek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata seramai 10 peserta telah dipilih untuk menyertai 1MMH dengan kemudahan pembiayaan mikro sebanyak RM50,000 seorang tanpa faedah.

Dana yang disalurkan menerusi Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) itu perlu diselesaikan dalam tempoh lima tahun.

Tambah Hamzah, bersesuaian dengan status Putrajaya sebagai bandar raya bertaraf dunia, perniagaan peserta 1MMH telah memenuhi standard kerana mereka memperoleh pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (Bess) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

1MHH beroperasi pada setiap hari secara pitstop dari 11.00 pagi hingga 3.00 petang manakala untuk hotspot pula adalah dari 5.00 petang hingga 11.00 malam.

 

Tinggalkan komen anda