Skip to main content
HomeViral

Komunikasi Imbangi Warganegara Bernilai Global, Tempatan

By 18 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 18 Sept — Komunikasi memainkan peranan penting dalam mewujudkan warganegara penuh dengan nilai-nilai global dan tempatan yang seimbang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata nilai-nilai tersebut mampu dirangka dengan sempurna sekiranya pengurusan komunikasi dapat diurus dengan baik.

“Pengurusan komunikasi yang sempurna akan memberi keutuhan dan meletakkan Malaysia setanding dengan negara lain dalam pelbagai sektor seperti ekonomi, sosial dan juga kestabilan politik,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Komunikasi Media (i-COME’16) di sini, malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor.

Salleh berkata persidangan itu mampu memberi peluang kepada ahli akademik dan penyelidik untuk meneroka lebih banyak bidang dan tidak hanya tertumpu kepada satu bidang.

“Selain itu, persidangan ini menawarkan platform intelektual untuk mereka bersama-sama bekerja untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

Persidangan bertemakan “Exploring Communication: Beyond National Cultural Adaptation, Images and Identity” itu membincangkan pelbagai isu melangkaui prejudis dan stereotaip budaya lain sebagaimana ia diaplikasikan dalam kehidupan sebenar.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Persatuan Komunikasi Antarabangsa (ICA) Prof Dr Ang Peng Hwa dan Pengarah Eksekutif i-COME’16 Prof Dr Hassan Abu Bakar.

Persidangan itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, dianjurkan Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dan ICA.

Seramai 153 perwakilan dari 21 negara menghadiri persidangan itu antaranya Thailand, Indonesia, Nigeria, Filipina, Jepun, Hong Kong, New Zealand, Australia, Amerika Syarikat dan Malaysia.

— BERNAMA/ Foto NST

Tinggalkan komen anda