Skip to main content
HomeViral

Cabaran Lahir Pelajar Sedia Hadapi Pekerjaan Belum Wujud

By 19 November 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

KUALA KANGSAR, 19 Nov — Universiti kini sedang berdepan dengan cabaran untuk melahirkan pelajar yang bersedia menghadapi pekerjaan mungkin belum wujud selain keperluan menawarkan pengalaman pendidikan yang sinonim dengan dunia ‘anak kelahiran digital’.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah untuk melahirkan pelajar yang berminda digital, universiti perlu mengadaptasi perubahan persekitaran selain melakukan anjakan paradigma daripada institusi yang bersendirian kepada peserta aktif dan penting dalam ekosistem digital.

Titah baginda universiti harus mempersiap pelajar agar berdaya tahan dan berkembang maju selari dengan perubahan teknologi dunia yang bukan sahaja menghasilkan pekerjaan baharu, malah mungkin menghapuskan pekerjaan sedia ada.

“Adalah sukar untuk mendidik pelajar supaya lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan jika universiti tidak ada fahaman jelas tentang corak pekerjaan masa hadapan.

“Maka majikan dan universiti harus berkolaborasi iaitu majikan mengenal pasti kemahiran yang diperlukan, sementara universiti harus mengembangkan kurikulum dengan sewajarnya,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-9 di sini hari ini.

Hari ini seramai 492 graduan USAS menerima diploma masing-masing daripada Sultan Nazrin.

Sultan Nazrin yang juga Canselor USAS bertitah universiti wajib membantu negara menjadi pemain aktif dalam ekonomi digital dengan memenuhi peranan sebagai sumber inovasi dan harta intelek, pengurus berkebolehan serta hab kolaborasi.

Titah baginda di samping aspek-aspek formal pendidikan untuk menghasilkan tenaga kerja dan masyarakat yang cerdas, tangkas, inovatif serta berdaya tahan, universiti juga mempunyai peranan penting sebagai penghubung unggul dalam ekosistem digital.

“Ini memerlukan minda kolaborasi dan perkongsian terbuka agar universiti dapat membantu, mencipta semula masa hadapan dan beraksi bukan sahaja sebagai penyokong malah sebagai pencetus teori serta teknologi baru,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah mengatasi kerenah birokrasi dalaman merupakan bahagian yang penting dalam ekosistem inovasi supaya universiti mampu berubah dan beradaptasi selari dengan perubahan masyarakat, kerajaan serta sektor perusahaan.

Di samping mengucapkan tahniah kepada para graduan, Sultan Nazrin bertitah mereka umpama jurujual yang akan memasarkan produk USAS untuk rakyat setempat dan umat sejagat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pengiktirafan USAS sebagai universiti penuh daripada Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah pada Jun lalu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda